Majlis Makan Malam Rasmi Program Pertukaran Lawatan Pegawai-Pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia – Brunei Darussalam Ke-10 Tahun 2008
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Mulia Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat
Setiausaha Tetap
Jabatan Perdana Menteri
Negara Brunei Darussalam
Dan Isteri,
Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Jamilah binti Pengiran Haji Md Yussof
TYT Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam
Dan Isteri,
Y. Bhg. Datin Zakiah binti Dato’ Hj. Alias
Yang Mulia Pengiran, Yang Mulia Dato’-Dato’, Datin-Datin Pegawai-Pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Brunei Darusalam,
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri, Dato’ Sri, Datin Seri, Dato’ Amar, Dato’-Dato’ Pegawai-Pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia
Awang-Awang dan Dayang-Dayang,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin Nya kita dapat bersama-sama sekali lagi pada tahun ini, sempena Program Pertukaran Lawatan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Saya amat berterima kasih kepada Yang Mulia Dato Paduka Haji Mustappa dan rakan-rakan dari Negara Brunei Darussalam kerana sudi menjadi tuan rumah pada tahun ini dan memberikan sambutan dan layanan yang amat mesra kepada saya dan rombongan. Kami juga berterima kasih di atas penganjuran majlis yang meriah pada malam ini.
2. Saya percaya bahawa Program Pertukaran Lawatan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Negara Brunei Darussalam yang diadakan sejak tahun 1999 ini, telah menyumbang dengan berertinya terhadap memupuk hubungan persahabatan antara pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara. Keakraban dan kemesraan yang terserlah di setiap pertemuan antara kita jelas menggambarkan betapa kukuhnya jalinan persahabatan dan kerjasama yang telah wujud antara Brunei dan Malaysia. Program ini telah mencapai usia ke-10 pada tahun ini perlu terus dipupuk bersama supaya jalinan persahabatan ini dapat diperkukuhkan.
Saudara-saudari sekalian,
3. Brunei dan Malaysia mempunyai sejarah persaudaraan dan hubungan yang telah wujud sejak beberapa kurun yang lalu. Ikatan yang merangkumi persamaan agama, sejarah, budaya dan bahasa, telah banyak membantu mempertingkatkan persefahaman di peringkat kerajaan dan rakyat antara kedua-dua negara. Saya gembira kerana hubungan istimewa antara kedua-dua negara ini terus berkembang dan mantap di setiap tahap dan di dalam pelbagai bidang.
4. Di peringkat tertinggi, pada setiap tahun, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertemu dan berbincang dalam rangka Rundingan Tahunan Malaysia dan Brunei Darussalam. Mekanisme dua hala ini telah mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua buah Negara, di mana apa jua isu atau masalah dua hala yang timbul telah dapat diselesaikan secara muafakat dan dengan semangat persaudaraan yang kental.
5. Saya percaya kita semua berpuas hati dengan tahap persahabatan dan jalinan kerjasama di antara kedua-dua Negara kita. Keadaan selesa ini membolehkan kerjasama yang rapat dan meluas dijalinkan dalam pelbagai bidang termasuklah ekonomi dan perdagangan, pertahanan, pelancongan, pendidikan, agama, pembangunan sumber manusia, kebudayaan dan kesenian, penyiaran, sukan dan anti narkotik. Sebagai pegawai-pegawai kanan di kedua-dua belah pihak, kita mempunyai peranan penting memupuk dan mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama ini.
6. Pada tahun ini, pelbagai program kerjasama dua hala antara Brunei dan Malaysia telah berjaya dilaksanakan. Umpamanya, pada bulan April yang lalu, Peguam Negara bagi kedua-dua negara telah mengadakan pertemuan sempena acara tahunan Jabatan Peguam Negara Brunei, Malaysia dan Singapura. Dalam pada itu, Suruhanjaya Pendidikan Malaysia telah mengadakan lawatan ke Brunei pada bulan Jun yang lepas. Lawatan-lawatan seumpama ini pastinya memberi banyak manfaat kepada kita, dan jalinan hubungan seperti ini patut diteruskan. Kedua-dua belah pihak boleh berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar fikiran dan pandangan dalam hal-hal kepentingan bersama bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam kedua-dua negara.
7. Malaysia dan Brunei mempunyai banyak potensi untuk bekerjasama dalam bidang-bidang baru. Di bidang ekonomi, terdapat banyak peluang untuk Malaysia dan Brunei bergabung kemampuan dan sumber masing-masing terutama sekali untuk menerokai pasaran serantau dan global. Dalam hubungan ini, Malaysia amat mengalu-alukan penyertaan Brunei dalam projek Koridor-Koridor Ekonomi Sabah dan Sarawak, iaitu Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Sarawak Corridor Of Renewable Energy (SCORE), yang telah dilancarkan baru-baru ini. Semoga dengan penyertaan dari pihak Brunei, kita akan dapat bersama-sama membangun dan mencapai kemajuan dalam suasana yang saling menguntungkan.
Yang Mulia Dato Paduka dan saudara-saudari sekalian,
8. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang telah menganjurkan majlis pada malam ini dan juga di atas kesudian rakan-rakan dari Brunei untuk menerima saya dan rakan-rakan saya berserta isteri masing-masing sebagai tetamu. Kami semua amat berterima kasih dan merasa terharu dengan layanan mesra ini.
9. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menjemput rakan-rakan dari Brunei untuk melawat Malaysia pada tahun hadapan bagi meneruskan Program Pertukaran Lawatan Pegawai-pegawai Kanan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Negara Brunei Darussalam ini. Insya Allah, kita akan bertemu lagi pada masa-masa akan datang dan semoga kita semua mendapat restu dan rahmat Allah SWT dalam hasrat murni kita bagi mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan dan rakyat kedua-dua negara, dan khususnya antara perkhidmatan awam kedua-dua buah negara.
Sekian
Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.