Persidangan Agenda Integriti Nasional: Penilaian Dan Hala Tuju
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Y.A.B. Dato’ Sri Haji Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Y. A. Bhg. Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah
Pengerusi Bursa Malaysia
Y.B. Menteri-Menteri,
Y.A.B. Menteri Besar dan Ketua Menteri,
Y.B. Timbalan-Timbalan Menteri,
Y.Bhg Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh
Presiden Institut Integriti Malaysia,
Y.Bhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Datuk-Datuk, Kepimpinan Sektor Awam, Ketua-Ketua Eksekutif GLC dan Syarikat Swasta,
Kepimpinan Badan Ikhtisas, NGO dan pihak Media,
seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia Nya kita dapat hadir bersama-sama di dewan ini, sempena “Persidangan Agenda Integriti Nasional: Penilaian dan Hala Tuju”. Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Y.A.B. Dato’ Sri Haji Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, yang walaupun mempunyai jadual tugas harian yang amat padat dan sibuk, namun agenda integriti nasional sentiasa dekat di hati dan menjadi fokus serta keutamaan beliau. Saya juga mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua pihak pada petang ini. Sesungguhnya kehadiran saudara-saudari menunjukkan sokongan serta komitmen dalam meneruskan agenda integriti negara.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
2. Agenda untuk membudayakan integriti masyarakat Malaysia secara menyeluruh adalah manifestasi azam dan iltizam, kesedaran dan keinsafan, betapa penting dan utamanya integriti pada setiap individu. Agenda ini bertujuan untuk menerapkan di dalam masyarakat kita tentang nilai, etika dan integriti, bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, selesa dan selamat untuk didiami.
3. Komitmen kepimpinan negara bagi memperkukuhkan nilai, etika, integriti, akauntabiliti dan ketelusan adalah jelas. Undang-undang diluluskan, peraturan dan garis panduan diperkenalkan, dan pelbagai mekanisme khusus dibentuk. Institut Integriti Malaysia (IIM) di peringkat Persekutuan, dan Institut Integriti Negeri (IIN) ditubuhkan atas komitmen kepimpinan negara dan semua kerajaan negeri. Usaha dan gerakan ini bertujuan untuk memastikan nilai dan integriti masyarakat terpelihara dan diperkukuhkan. Justeru, pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan IIM pada 23 April 2004 merupakan usaha ke arah pembudayaan integriti masyarakat Malaysia secara menyeluruh.
4. Adalah menjadi harapan kita agar integriti menjadi suatu cara hidup. Apabila integriti dijunjung, Insya Allah kita akan dapat memberi fokus kepada agenda pembangunan dan kemajuan dengan lebih yakin dan terjamin. Sebaliknya jika nilai, etika dan integriti itu yang menjadi punca dan permasalahan, ini akan membantutkan perancangan dan pelaksanaan semua bentuk sistem yang ada, misalnya, sistem dalam kekeluargaan dan kemasyarakatan, sistem keselamatan dan pertahanan, sistem penyampaian khidmat awam, sistem perniagaan dan pelaburan dalam ekonomi, sistem penguatkuasaan dan keadilan, dan sebagainya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Sebentar nanti kita akan mengikuti pembentangan Laporan TEKAD 2008 Pelan Integriti Nasional oleh Presiden IIM. Pembentangan ini memberikan kita nilai, di mana kedudukan kita dan ke mana arah hala tuju agenda integriti nasional dalam fasa seterusnya.
6. Selaku Pengerusi dan bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan IIM, saya ingin mengambil kesempatan di sini, untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan agenda integriti nasional, khususnya melalui pelaksanaan Pelan integriti Nasional. Ucapan ribuan terima khususnya kepada Ahli Jemaah Menteri dan kepimpinan organisasi yang menerajui usaha ini.
7. Sebelum mengakhiri, saya ingin sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia atas kesudian menyampaikan Ucap Utama dan seterusnya menyempurnakan pelancaran Laporan TEKAD 2008 pada petang ini. Semoga pembudayaan integriti di kalangan rakyat Malaysia akan dapat disemarakkan dan diperkuatkan lagi melalui usaha-usaha yang sedang dilaksanakan ini.
Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabaratuh.