Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia,
Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Perkhidmatan, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua-Ketua Eksekutif Badan-Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan GLCs, serta
Warga Perkhidmatan Awam yang dihormati sekalian,
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya jua kita dapat berhimpun pada pagi ini, dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam kali yang kesepuluh. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, di atas kesudian Y.A.B. Dato’ Sri untuk menghadiri Majlis bersama kami ini, seterusnya memberi amanat kepada para pegawai perkhidmatan awam di negara ini, dalam masa yang sebegitu cepat setelah dilantik sebagai Perdana Menteri tidak sampai satu bulan yang lalu.
2. Sebagai mewakili anggota perkhidmatan awam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan rasa kebanggaan yang tidak terhingga atas pelantikan Y.A.B. Dato’ Sri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Kehadiran Y.A.B. Dato’ Sri sebagai pemimpin utama negara ke Majlis ini sesungguhnya melambangkan keperihatinan yang tinggi dan menjadi perangsang bagi menguatkan semangat kami untuk bekerja dengan lebih komited lagi, demi merealisasikan matlamat negara.
3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis Perdana Perkhidmatan Awam pada kali ini. Sesungguhnya kehadiran anggota-anggota pentadbiran dan pegawai perkhidmatan awam pada hari ini amatlah bermakna dan sebagai bukti kepada hubungan dan kerjasama erat yang telah sedia terjalin dalam pentadbiran negara selama ini.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
4. Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ini dianjurkan sebagai satu platform kepada warga perkhidmatan awam, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau GLCs, untuk mendengar amanat dan nasihat daripada Y.A.B. Dato’ Sri sendiri mengenai hala tuju dan cabaran negara.
5. Dalam perutusan sempena penerimaan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 3 April 2009 lalu, Y.A.B. Dato’ Sri telah menegaskan komitmen bagi mewujudkan sebuah Kerajaan yang mengutamakan prestasi serta berpaksikan keutamaan kepada rakyat. Dalam era kepimpinan hari ini dan seterusnya, visi Y.A.B. Perdana Menteri adalah jelas, iaitu mengutamakan seluruh lapisan rakyat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air agar tiada sesiapa yang merasa diri mereka tercicir atau terpinggir dari agenda nasional.
6. Dalam hal ini, sebagai mewakili anggota perkhidmatan awam, saya ingin menyampaikan ikrar dan komitmen kami untuk bersama-sama Y.A.B. Perdana Menteri bagi melaksanakan agenda perjuangan untuk memartabatkan kesejahteraan dan kemajuan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap anggota perkhidmatan awam untuk merealisasikan komitmen “”Satu Malaysia” Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang merupakan agenda pentadbiran negara masa kini demi untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 dan Misi Nasional.
7. Mengambil tema persidangan pada kali ini, iaitu “”Satu Malaysia”, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, ia sebenarnya merupakan manifestasi perjuangan bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang bersatu-padu dan maju. Justeru itu, saya mengajak anggota perkhidmatan awam untuk menggandakan usaha bagi memastikan hasrat pemimpin negara untuk mewujudkan “Kerajaan yang mesra rakyat” dapat diterjemahkan serta merta menerusi penyampaian perkhidmatan yang cekap, prihatin, berkesan dan mengutamakan kehendak rakyat.
8. Kemakmuran sesebuah negara hanya akan tercapai menerusi komitmen dan usaha pelbagai pihak iaitu pemimpin, perkhidmatan awam, sektor swasta dan setiap lapisan masyarakat. Semua pihak adalah bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan cekap bagi faedah rakyat.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
9. Dalam hal ini, agenda pembangunan negara adalah keutamaan setiap anggota perkhidmatan awam, dan pencapaian kesejahteraan rakyat akan sentiasa menjadi komitmen kami. Justeru itu, di sini saya juga ingin menegaskan bahawa seluruh penjawat awam akan terus memberi komitmen yang tinggi dalam menyokong segala dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan.
10. Oleh itu, kami amat menghargai amanat dan nasihat Y.A.B. Dato’ Sri, khususnya demi meneruskan kesinambungan kecemerlangan perkhidmatan awam negara kita. Untuk itu, saya dengan segala hormat dan takzimnya menjemput Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan amanat beliau, sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh kali ini.
Dengan segala hormatnya dipersilakan.