Majlis Perasmian Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak / Sivil Kali Ke-19
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Y.Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman
Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Y.Bhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz
Ketua Pengarah JAKIM
Y.Bhg. Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil
Sahibus Samahah Mufti-mufti Kerajaan Negeri
Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri-Negeri
Yang Amat Arif Ketua-Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri
Ketua-ketua Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri
Y.Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Ahli Persidangan yang dihormati sekalian.
Pertamanya, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin Nya, kita dapat bersama-sama hadir di dalam Majlis Perasmian Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil kali ke-19 ini, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Saya mengucapkan terima kasih kepada JAKIM kerana telah menjemput saya ke Majlis pada malam ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
2. Sebagaimana sedia maklum, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil telah ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, dan berperanan membantu JAKIM menggubal model undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara. Selain itu, ia juga membantu memperkemas dan memantapkan pentadbiran undang-undang Islam sedia ada. Justeru, persidangan yang melibatkan agensi-agensi penting yang berperanan dalam proses penggubalan undang-undang syarak ini adalah sangat tepat bagi mencapai kata sepakat dan persetujuan dalam penyediaan undang-undang Islam sama ada dalam bentuk Akta atau Enakmen, peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang selaras dan seragam, bukan sahaja untuk diguna pakai di Wilayah-wilayah Persekutuan, bahkan juga untuk diterima pakai secara seragam di negeri-negeri seluruh Malaysia.
3. Saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman kerana telah banyak membantu JAKIM mencapai beberapa kejayaan penting dalam menjalankan kajian, penggubalan, penyediaan draf dan semakan terhadap undang-undang syarak di negara ini. Sesungguhnya sumbangan yang diberikan oleh Jawatankuasa ini sangat besar ertinya kepada negara lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana masyarakat sangat memerlukan kepada sebuah undang-undang yang berasaskan kepada al-Quran dan al-Hadith dalam menyelesaikan banyak masalah. Peranan Jawatankuasa ini sangat memerlukan kepada bidang kepakaran yang mendalam dan komitmen jitu setiap ahlinya. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan kepada JAKIM, selaku Urusetia kepada Jawatankuasa ini, supaya dapat mencari jalan terbaik untuk memperkasakan Jawatankuasa ini supaya lebih setimpal dengan sumbangan kepakaran dan peranan mereka yang besar kepada negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Kejayaan penggubalan sesuatu undang-undang tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya undang-undang tersebut tidak dilaksanakan secara berkesan di seluruh negara. Justeru, saya berharap agar semua negeri dapat mempertimbangkan untuk menerima pakai model undang-undang yang telah digubal oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil ini, setelah melalui beberapa proses yang perlu.
5. Sebagaimana kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri-negeri dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan agama Islam. Dewan Undangan Negeri diberi kuasa untuk menggubal undang-undang Islam berdasarkan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara yang boleh digubal termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Senarai II, Senarai Negeri. Majlis Agama Islam Negeri pula merupakan pihak berkuasa agama yang membuat dasar di negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri merupakan pelaksana dasar-dasar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri. Sehubungan dengan itu, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai peranan yang penting untuk memelihara kesucian dan kemuliaan agama Islam daripada tekanan dan cemuhan.
6. Saya difahamkan bahawa JAKIM, sebagai badan penyelaras yang diberi kuasa di bawah peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, telah bekerjasama dengan pihak negeri-negeri bagi menguatkuasakan undang-undang Islam di negeri-negeri secara selaras dan seragam melalui mekanisme yang telah diwujudkan di peringkat pusat seperti Persidangan Ketua-Ketua Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia, Mesyuarat Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie seluruh Malaysia, dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Aspek pemantapan dan pemerkasaan fungsi penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang syarak di negeri-negeri, juga perlu diberi perhatian serius. Ini kerana, undang-undang yang kemas dan baik, tetapi tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, akhirnya akan menggagalkan seluruh fungsi undang-undang tersebut.
8. Kita juga sering mendengar keluhan dan rintihan sesetengah pihak mengenai masalah yang dihadapi dalam isu penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang syarak. Antara isu-isu yang sering dibangkitkan ialah struktur pentadbiran Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan di Jabatan Agama Islam Negeri-negeri yang tidak seragam. Sumber manusia juga amat terhad. Kebanyakan jabatan agama tidak mempunyai kemudahan dan peralatan yang sempurna bagi tugas-tugas penguatkuasaan. Perkara ini ada kaitan dengan jumlah peruntukan kewangan yang sangat terhad.
9. Dari segi perjawatan, pada masa ini tiada skim khas bagi pegawai-pegawai penguatkuasaan. Secara umumnya, gred jawatan penguatkuasaan tidak setara dengan gred jawatan Bahagian-bahagian lain di bawah Jabatan yang sama. Mereka juga kurang menerima latihan dan pendedahan kepakaran khusus, dan kerap bertukar ke sektor lain yang tiada kaitan dengan bidang penguatkuasaan dan ini boleh menjejaskan kewibawaan tugas penguatkuasaan untuk dilaksanakan dengan penuh integriti.
10. Dalam hal ini, saya akan meminta pihak MAMPU untuk menjalankan kajian dan penelitian secara menyeluruh terhadap organisasi Majlis dan Jabatan Agama Islam di negeri-negeri, khususnya dalam hal penguatkuasaan dan pendakwaan, supaya keadilan undang-undang syarak dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sempurna. Hasil kajian yang dijalankan itu nanti akan diteliti, bertujuan bagi mencari jalan penambahbaikan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
11. Pada kesempatan ini, saya ingin menyentuh sedikit mengenai aspek pengurusan fatwa di negara kita. Sebagaimana sedia maklum, sesuatu isu yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu dibawa semula ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri, sebelum ianya diwartakan dan dikuatkuasakan oleh negeri berkenaan. Lazimnya, tempoh untuk menguatkuasakan suatu fatwa oleh pihak negeri, mengambil masa yang lama untuk disahkan dan dipersetujui di peringkat negeri.
12. Saya berpandangan sudah tiba masanya kita, secara bersama, mencari jalan terbaik dan cepat bagi membolehkan sesuatu isu yang secara dasarnya telah diputuskan dan dipersetujui di peringkat persekutuan dapat dilaksanakan di negeri-negeri secara hikmah dan bijaksana. Dengan demikian, umat Islam di negeri-negeri akan juga mendapat manfaat daripada pewartaan sesuatu fatwa tersebut. Saya yakin, sekiranya kita komited dalam melaksanakan perkara ini, umat Islam di negara ini akan lebih dilihat sentiasa bersama dan bersepakat, serta dihormati oleh semua pihak.
Hadirin yang dihormati sekalian,
13. Dalam era globalisasi masa kini, di mana fahaman liberalisme dan perjuangan hak asasi manusia sering dilaung-laungkan, pendekatan secara “collaborative” mampu menangani dan mempertahan kemuliaan agama Islam. Agensi-agensi agama tidak boleh bertindak secara sendirian sebaliknya perlu menggembleng idea dan tenaga. Apa yang penting, semangat kerjasama dan saling bantu membantu antara negeri perlu wujud dan diperkukuhkan.
14. Agensi-agensi agama hendaklah memperkasakan fungsi Jabatan masing-masing di samping memantapkan serta mendedahkan pegawai dan kakitangan dengan pengurusan pengetahuan. Jika setiap penjawat awam khususnya di agensi agama memahami dan berjaya mengaplikasikan pengurusan pengetahuan dalam erti kata yang sebenar, maka agensi agama itu akan dapat berdiri teguh dan dihormati.
15. Dalam hal ini, Institut Latihan Islam Malaysia atau ILIM yang berada di bawah pengurusan JAKIM, disarankan supaya melaksanakan peranan yang lebih aktif dalam membantu memperkasakan modal insan pegawai-pegawai di agensi agama seperti JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti dan lain-lain lagi. Di samping itu, JAKIM turut mempunyai Pusat Latihan Islam di Sabah dan Sarawak, dan projek pembangunan ILIM Wilayah Timur di Besut, Terengganu dijangka siap pada bulan Jun 2009. Dalam hubungan ini, ada baiknya sekiranya JAKIM dapat membangunkan modul-modul latihan yang berkualiti agar dapat dimanfaatkan oleh pegawai-pegawai agama di Sabah, Sarawak dan Timur Semenanjung Malaysia.
16. Program latihan yang terancang dan tersusun mampu menghasilkan modal insan yang berkualiti. Hasil Pengurusan Pengetahuan yang baik juga boleh membantu seseorang individu dan kumpulannya berkongsi wawasan organisasi mereka secara bersama, mengurangkan pertindihan kerja serta mengelakkan melakukan perkara yang berulang atau “reinventing the wheel”. Impak lain termasuklah mengurangkan masa latihan kepada pegawai dan kakitangan baru, mengekalkan kemahiran dan pengetahuan yang telah dibangunkan oleh organisasi walaupun kakitangannya silih berganti, serta dapat mengadaptasikan perubahan persekitaran dengan sebaiknya.
17. Pegawai dan kakitangan di agensi agama juga perlu ada jati diri yang mantap. Ini kerana, dengan jati diri yang mantap, segala unsur negatif dapat dihindarkan. Selain itu, pentadbiran yang cekap dan sistematik serta urus tadbir yang baik perlu dipertingkatkan. Dalam hal ini, suka saya mengambil contoh kejayaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam membangunkan sistem aplikasi e-Syariah. Sistem ini telah banyak membantu memperkemaskan sistem pengurusan kehakiman di negara kita.
18. Nilai integriti yang tinggi juga perlu menjadi perhatian dan amalan setiap penjawat awam. Nilai ini merupakan suatu kekuatan bagi mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Amalan-amalan yang bercanggah dengan nilai integriti seperti rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, sikap pentingkan diri sendiri dan lain-lain hendaklah dielakkan sama sekali oleh setiap pegawai dan kakitangan kerajaan, lebih-lebih lagi yang berkhidmat di agensi agama Islam. Ini kerana sejak dari dulu lagi agensi agama sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat. Kita bimbang jika kesilapan dilakukan oleh segelintir kakitangannya, maka seluruh agensi agama akan dipandang serong oleh masyarakat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
19. Saya gembira kerana JAKIM sebagai agensi penyelaras hal ehwal agama Islam di peringkat Persekutuan mampu mengadakan suatu forum perbincangan yang baik dengan negeri-negeri. Saya percaya usaha sama seperti ini akan dilakukan secara berterusan bagi memantapkan semua agensi agama tidak kira di peringkat Persekutuan ataupun negeri.
20. Harapan saya, semoga perjalanan Majlis Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil pada kali ini akan berjalan dengan lancar dan tercapai matlamatnya. Maka, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim saya dengan ini merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Kali ke-19 pada tahun ini.
Sekian,
Wabillahittaufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.