Majlis Perhimpunan Y.A.B. Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Awam
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abd. Razak, Perdana Menteri Malaysia
Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet,
Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri,
Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian,
Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri
Ketua-Ketua Perkhidmatan dan Ketua-Ketua Jabatan,
Dif-dif jemputan,
Warga Perkhidmatan Awam yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin Nya jua kita dapat berhimpun pada pagi ini, dalam Majlis Y.A.B. Perdana Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam.
Y.A.B. Dato’ Sri,
2. Saya merakamkan komitmen penuh seluruh anggota Perkhidmatan Awam kepada segala usaha dan ekspektasi Y.A.B. Dato’ Sri dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat. Kami sedar bahawa Perkhidmatan Awam perlu melakukan transformasi sejajar dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Keakraban hubungan di antara Y.A.B. Dato’ Sri dengan anggota Perkhidmatan Awam sesungguhnya akan menjadi teras kepada pendekatan “Perdana Menteri Rakyat”. Kami Penjawat Awam amat menghargai kepercayaan Kerajaan di bawah pimpinan Y.A.B. Dato’ Sri terhadap Perkhidmatan Awam berlandaskan “covenant” atau “wa’ad” dan “bai’ah” di antara Kerajaan dan Perkhidmatan Awam.
3. Dalam mengutamakan rakyat, Perkhidmatan Awam juga telah membuat satu komitmen melalui penghayatan dan penerapan falsafah One Service, One Delivery: No Wrong Door, di mana setiap seorang dari kita dalam Perkhidmatan Awam bersama-sama berusaha memenuhi keperluan pelanggan; dengan mempastikan sebarang isu ditangani secara “seamlessly” oleh pihak yang bertanggungjawab.
4. Sehubungan dengan ini, peranan perkhidmatan awam dalam pencapaian Bidang Keberhasilan Utama atau KRA, dan KPI yang Y.A.B. Dato’ Sri umumkan adalah sangat penting dalam memastikan gagasan Y.A.B. Dato’ Sri dalam mengutamakan prestasi akan tercapai. Dalam hubungan ini, KPI untuk lapisan pegawai tertinggi penjawat awam yang telah dilaksanakan mulai tahun lepas seterusnya akan dijajarkan kepada KPI Menteri-Menteri. Ini adalah bagi menentukan sasaran-sasaran KPI di setiap peringkat adalah seiring. Dalam hubungan yang sama, inisiatif-inisiatif pengurusan prestasi di dalam perkhidmatan awam seperti penarafan bintang oleh MAMPU dan oleh Ketua Audit Negara akan terus dipergiatkan dalam usaha untuk meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan awam.
5. Untuk kekal relevan, setiap anggota Perkhidmatan Awam akan berusaha melengkapi diri dengan mempertingkatkan kompetensi dan mengurangkan karenah birokrasi. Kita telah membuktikan ini boleh kita lakukan seperti dalam pengeluaran pasport dalam tempoh 2 jam, kad pengenalan dalam tempoh seminggu, pembayaran bil dalam tempoh 14 hari. Dan, banyak lagi penambahbaikan yang boleh kita lakukan dalam usaha berterusan meningkatkan daya saing Negara kita.
Y.A.B. Dato’ Sri,
6. Kami seluruh anggota Perkhidmatan Awam amat menyedari amanah dan tanggungjawab besar yang harus dipikul demi memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan Negara. Saya yakin kerjasama erat di antara Anggota Pentadbiran dan Penjawat Awam akan menjadi pemangkin dan resipi yang berkesan untuk memastikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan kelancaran pelaksanaan agenda pembangunan negara; sebagaimana yang diputuskan oleh Kerajaan.
Saudara-Saudari sekalian,
7. Setiap dari kita Penjawat Awam, 1.2 juta kita adalah rakyat Malaysia. Banyak daripada cadangan-cadangan penambahbaikan yang diterima oleh Kerajaan, yang saya terima, yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, MAMPU, Kementerian Pelajaran, Polis DiRaja Malaysia datangnya dari kalangan kita. Kita mahu melihat perkhidmatan yang kian bertambah baik. Kita mahu Negara kita bertambah maju dalam pelbagai aspek. Dan, kita yang masih berkhidmat boleh membuat sesuatu yang bermakna bersama-sama Kerajaan dalam mencapainya. Saya menaruh sepenuh harapan dan saya berkeyakinan penuh, bahawa setiap dari kita Penjawat Awam, 1.2 juta kita, dan ahli-ahli keluarga kita serta rakyat Malaysia yang lain akan sama-sama mendukung harapan rakyat dan harapan Kerajaan.
8. Maka seterusnya, saya dengan segala hormat dan takzimnya menjemput Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan amanat kepada semua anggota Perkhidmatan Awam dan Negara.
Sekian, terima kasih.