Seminar 1Malaysia : Kecemerlangan Melalui Kepelbagaian

July 28, 2009 9:14 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Y. Bhg. Dato’ Dr. Muhamad Hamzah
Pengarah INTAN,

Ketua-Ketua Setiausaha,

Ketua-Ketua Jabatan,

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datuk-Datuk,

Dif-Dif Kehormat,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan rahmat dan limpah kurnia Nya, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Perasmian “Seminar 1Malaysia: Kecemerlangan Melalui Kepelbagaian”. Kehadiran begitu ramai para pentadbir, tokoh-tokoh akademik, peneraju pertubuhan sosial serta para pemimpin masyarakat pada majlis ini, jelas menzahirkan komitmen serta semangat yang tinggi dari pelbagai pihak untuk merangka strategi dan merealisasikan matlamat murni negara ke arah pencapaian gagasan 1 Malaysia.

2. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada INTAN yang telah mengambil daya usaha serta inisiatif bagi menganjurkan Seminar 1Malaysia di peringkat nasional. Saya berpendapat telah tiba masanya untuk kita mengorak langkah lebih jauh bagi memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada anggota perkhidmatan awam dan para pemimpin masyarakat, mengenai konsep 1Malaysia dan apakah peranan kita dalam merealisasikan matlamat tersebut. Diharapkan usaha seumpama ini akan dapat menghasilkan idea-idea bernas bagi merangka strategi dan kaedah pelaksanaan terbaik dalam memastikan aspirasi negara dapat dilaksanakan.

KONSEP “1MALAYSIA”

Y. Bhg. Tan Sri, Dato’ Sri, Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

3. Konsep “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” telah diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, sebaik sahaja beliau menerima tanggungjawab menerajui negara pada 3 April 2009. Menurut Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, “1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan nilai-nilai penting, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.” Perpaduan merupakan teras utama dalam hala tuju ke arah kecemerlangan. Apabila perpaduan telah mantap maka pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam hal ini, 1Malaysia bertujuan untuk mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat menerusi tiga teras utama, iaitu sikap penerimaan, penghayatan ke atas prinsip-prinsip kenegaraan serta pembelaan kepada semua golongan yang memerlukan.

4. Oleh itu, konsep 1Malaysia adalah pemangkin kepada proses transformasi sosial yang mengarah kepada kemajuan negara dan kesejahteraan kehidupan masyarakat. Gagasan tersebut yang membawa bersama lapan nilai aspirasi, sememangnya memberi harapan baru kepada rakyat. Pada masa yang sama, ia merupakan satu cabaran kepada golongan cendekiawan dan penjawat awam untuk memikir, meneroka dan mencari strategi terbaik bagi merealisasikan konsep dan semangat 1Malaysia. Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan hasrat murni pemimpin negara dapat diterjemahkan supaya manfaatnya kelak, bakal dinikmati oleh rakyat dan negara.

PERANAN PERKHIDMATAN AWAM

Saudara-saudari sekalian,

5. Saya berpendapat kejayaan pelaksanaan sesuatu agenda negara bergantung kepada dasar-dasar yang adil dan saksama. Jentera perkhidmatan awam dan anggota perkhidmatan awam perlu menerima cabaran dan berani membuat “self-assessment” terhadap keberkesanan kita dalam menguruskan program-program pembangunan. Apakah program-program tersebut benar-benar mencapai matlamatnya iaitu memberi impak terhadap peningkatan tahap sosioekonomi masyarakat? Atau apakah terdapat program atau projek yang siap tetapi menjadi “gajah putih” iaitu dapat dilihat oleh rakyat tetapi tidak memberi faedah yang bermakna kepada mereka? Atau projek telah berjaya dilaksanakan tetapi hasilnya tidak dinikmati secara menyeluruh, sebaliknya hanya dibolot oleh kelompok tertentu sahaja? Jika ada unsur-unsur sedemikian berlaku, maka rakyat akan merasai aspek keadilan sosial tidak terlaksana kepada semua.

6. Dalam hal ini, terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh penjawat awam, iaitu kita mesti mendengar aspirasi dan harapan masyarakat, melaksanakan pembangunan dengan agresif, dan kemudiannya membuat pemantauan dengan sentiasa turun ke padang. Akhirnya, penjawat awam perlu menilai setiap kejayaan sesuatu program atau projek menerusi pencapaian peningkatan sosioekonomi rakyat. Peningkatan tahap kualiti kehidupan rakyat adalah KPI paling utama yang perlu dicapai dalam setiap program dan projek yang dilaksanakan oleh jentera perkhidmatan awam.

7. Perkhidmatan awam telah melalui pelbagai transformasi dan perubahan peranan iaitu sebagai regulator, facilitator, pacesetter dan moderniser. Sememangnya agenda pembangunan negara kini diterajui oleh perkhidmatan awam bersama-sama sektor swasta dan agensi bukan Kerajaan, termasuk GLC. Dalam menyahut perubahan tersebut, satu perkara harus kekal, iaitu anggota perkhidmatan awam akan selamanya menjadi penjaga (custody) kepada kepentingan rakyat, serta sebagai tonggak untuk memastikan matlamat kesejahteraan sosial menjadi keutamaan dalam usaha-usaha pembangunan dan pelaksanaan dasar-dasar negara. Justeru itu sejauh mana signifikan dan relevannya anggota perkhidmatan awam, akan dinilai oleh rakyat berdasarkan komitmen memegang amanah tersebut dan keberanian kita dalam memastikan keadilan sosial terus terpelihara.

PERANAN MEDIA MASSA

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Konsep dan gagasan 1Malaysia hendaklah difahami dan dihayati oleh semula lapisan masyarakat sehinggalah ke peringkat akar umbi. Dalam hubungan ini, pengamal media perlu menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat demi merealisasikan agenda pengukuhan perpaduan dan kemakmuran bersama. Media massa perlu bekerjasama secara sinergi dan efektif dengan agensi-agensi Kerajaan untuk mengolah dan menempa pemikiran publik supaya selaras dengan arah tuju negara. Menerusi rencana pengarang dan artikel-artikel yang menyemarakkan pengukuhan integrasi dan perpaduan, media massa mampu memainkan peranan sebagai agen pendidik kepada generasi muda supaya lebih memahami sejarah, menghayati prinsip-prinsip Perlembagaan dan mengamalkan Rukun Negara.

9. Dalam hal ini, pengamal media perdana perlu menyuarakan pandangan membina dan memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat. Media massa arus perdana juga boleh memainkan peranan sebagai mediator bagi mengelakkan berlakunya konflik dan krisis kaum, dan pada masa yang sama menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan. Dengan itu, keamanan yang dinikmati hari ini akan lebih dihargai dan seterusnya mendorong media massa menunaikan tanggungjawab tanpa berbelah bahagi untuk membangunkan kegemilangan bangsa dan negara.

PERANAN SEKTOR SWASTA DAN ORGANISASI KORPORAT

Saudara-saudari sekalian,

10. Pada hemat saya, sememangnya sektor swasta dan organisasi korporat telah memperlihatkan sumbangan yang signifikan dalam mengukuhkan pembangunan ekonomi negara. Sektor swasta dan korporat juga telah melangkah seiring jalan bersama-sama sektor awam bagi menjayakan program dan projek pembangunan negara hingga pada tahap ini. Walau bagaimanapun saya yakin masih ada ruang kerjasama yang perlu dimantapkan, khususnya bagi mencapai matlamat pembentukan sebuah negara bangsa yang bersatu-padu.

11. Perbincangan dan permuafakatan antara sektor awam dan swasta akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menggabungkan idea dan strategi, seterusnya menerokai jalan bagi mencapai agenda 1Malaysia. Kerajaan terus berusaha untuk memastikan agar Malaysia tergolong dalam kelompok negara dan rakyat yang berpendapatan tinggi. Dalam konteks pengukuhan sosioekonomi, Kerajaan boleh menawarkan garis permulaan dan menyediakan padang permainan yang adil kepada semua, tetapi Kerajaan tidak berkemampuan memastikan “outcome” yang sama. Oleh itu penglibatan dan sumbangan pihak swasta amatlah diperlukan untuk memberi peluang yang sama kepada masyarakat tanpa mengira kaum, keturunan, wilayah dan budaya, untuk memasuki sektor guna tenaga dan seterusnya membantu setiap golongan untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

12. Penglibatan pihak swasta dan korporat juga diharapkan bagi membantu agensi awam dalam menawarkan kemudahan latihan, bimbingan (“mentoring”), pinjaman dan kemudahan perniagaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti penjaja kecil, peniaga pasar malam, pekedai runcit, usahawan industri tradisional serta enterpris kecil dan sederhana. Dengan cara ini, usahawan yang kurang berkemampuan dari segi modal, tidak kira dari bandar atau luar bandar dan walau dari etnik manapun, tetapi ternyata mempunyai potensi untuk maju, berhak mendapat bantuan dan bimbingan sektor korporat, berbanding syarikat-syarikat yang telah kukuh kedudukan ekonominya. Ini bermakna akan tiada rakyat yang merasa terpinggir daripada mendapat perhatian dan bantuan. Dengan itu, pihak swasta dan korporat akan dapat mengukuhkan semangat kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) dalam kehidupan sebuah keluarga besar.

PERANAN BADAN-BADAN BUKAN KERAJAAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Bagi menangani cabaran-cabaran dalam merealisasikan hasrat membawa negara ke arah kemakmuran, saya berpendapat konsep toleransi, kerjasama dan penerimaan perlu diperkukuhkan di kalangan masyarakat akar umbi. Perpaduan di peringkat lokal adalah asas kepada perpaduan di peringkat nasional. Kesejahteraan dan muhibah di kalangan rakyat adalah teras kepada integrasi nasional keseluruhannya. Oleh kerana 1Malaysia membawa nilai-nilai murni seperti kesetiaan, hormat-menghormati, kesederhanaan dan kesantunan, peranan Badan Bukan Kerajaan atau NGO adalah sangat penting sebagai pemangkin perpaduan dan kesejahteraan.

14. Dalam konteks merealisasikan 1Malaysia, peranan NGO seharusnya lebih tertumpu kepada pendekatan turun padang bagi menerangkan gagasan berkenaan supaya lebih difahami rakyat. Pastinya untuk melaksanakan tugas ini memerlukan persefahaman yang mantap antara Kerajaan dan NGO. Tidak ada salahnya NGO menjadi sahabat baik dan rakan kongsi kepada Kerajaan. Dalam konteks ini, NGO memerlukan bantuan dan bimbingan Kerajaan untuk membolehkannya bergerak aktif, dan pada masa yang sama, Kerajaan memerlukan NGO untuk membantu menjelaskan dasar-dasar sehingga ke peringkat akar-umbi. Menerusi pendekatan menang-menang antara kedua-dua belah pihak ini, rakyat akan memperolehi manfaatnya.

PERANAN PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT

Saudara-saudari sekalian,

15. Dalam melahirkan modal insan yang setia kepada negara, menghormati sensitiviti budaya kaum lain, menjauhi tutur kata atau tindakan bersifat ekstrem dan mengutamakan ketertiban dalam interaksi dan pergaulan, maka tokoh-tokoh masyarakat sendiri perlu menjadi “role-model” yang dapat dicontohi. Peranan para pemimpin tempatan adalah untuk mengukuhkan kerjasama, persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat akar umbi. Oleh itu pemimpin masyarakat bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi yang salah serta menangani isu-isu seperti prasangka dan perkauman. Dengan itu, nilai-nilai murni yang mendasari semangat perpaduan akan dapat dihayati dan dijadikan cara hidup masyarakat di peringkat lokal.

16. Pada pandangan saya, Seminar 1Malaysia ini merupakan forum terbaik untuk para pemimpin masyarakat menyampaikan pandangan, pemikiran dan aspirasi rakyat supaya penggubal dan pelaksana dasar lebih memahami dan menghayati apa yang dikehendaki oleh masyarakat. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menegaskan bahawa era “The Government Knows Best” telah berlalu. Hari ini pentadbiran Kerajaan ingin mendengar suara dan kehendak rakyat sebelum memutuskan sesuatu polisi dan perencanaan. Oleh itu, para pemimpin masyarakat bertanggungjawab menyalurkan segala kehendak, aspirasi dan keluh-kesah rakyat kepada penggubal dasar supaya segala permasalahan sebenar rakyat dapat diketengahkan untuk dibincang dan diselesaikan.

17. Menerusi sumbangan berkesan tokoh-tokoh masyarakat setempat, golongan rakyat jelata, terutamanya masyarakat yang kurang berkemampuan, akan dapat dibela supaya mereka tidak ketinggalan untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik dalam arus pembangunan. Menerusi usaha gigih ini, kehendak rakyat dapat dipenuhi dan negara dapat dijadikan sebagai tempat yang lebih menyenangkan, selesa dan makmur untuk didiami oleh semua lapisan masyarakat.

PENGGEMBLENGAN USAHA BAGI MENANGANI CABARAN-CABARAN SEMASA

18. Saya penuh yakin bahawa rakyat Malaysia sangat berharap konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini dapat memperbaiki segala kekurangan yang timbul ke arah mencapai perpaduan, seterusnya mengukuhkan lagi integrasi masyarakat di negara ini. Namun begitu, kita tidak seharusnya melupakan beberapa cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan negara hari ini. Kita mesti mengakui bahawa kemajmukan sememangnya wujud dan ia adalah realiti yang harus diterima. Kepelbagaian ini tidak harus dianggap sebagai aspek pemisah, sebaliknya perlu dilihat sebagai kelebihan yang jika digembleng, bakal memperkukuhkan masyarakat dan negara. Inilah merupakan kunci kejayaan kepada konsep 1Malaysia, iaitu mengakui realiti dan cabaran sedia ada sepertimana yang telah saya nyatakan tadi, dan menjadikannya sebagai titik-tolak bagi membina strategi untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.

19. Saya yakin bahawa gagasan 1Malaysia akan dapat dicapai menerusi persefahaman, permuafakatan dan pelaksanaan yang mantap di kalangan semua pihak. InsyaAllah, dengan sokongan padu setiap rakyat yang cintakan negaranya, Kerajaan akan dapat mengharungi setiap cabaran dan berjaya mengemudi negara menuju keterbilangan.

20. Akhirnya saya berharap agar Seminar 1Malaysia ini akan dapat menjadi platform kepada pelbagai pihak iaitu penggubal dasar, pelaksana polisi, pengamal media, pihak swasta, agensi korporat, NGO dan pemimpin masyarakat, untuk membincangkan mengenai isu dan strategi bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia. Semoga di akhir seminar ini nanti, satu resolusi yang komprehensif dapat dihasilkan untuk dikemukakan kepada Kerajaan. Dengan itu, dengan lafaz suci “Bismillahirrahmannirrahim”, saya dengan sukacitanya merasmikan “Seminar 1Malaysia: Kecemerlangan Melalui Kepelbagaian” ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh.

Leave a Reply



− 3 = zero

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →