Majlis Perasmian Program Suai Kenal (Onboarding & Acculturation) di bawah Cross-Fertilisation Sektor Awam-Swasta 2009
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah
Ketua Setiausaha
Kementerian Kewangan Malaysia
Y. Bhg. Datuk Ab. Khalil bin Ab. Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Ketua Setiausaha Kementerian
Ketua-Ketua Jabatan
Ketua-Ketua GLC
Y. Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin Nya, kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Perasmian Program Suai Kenal Bagi Peserta-Peserta Program Cross-Fertilisation Sektor Awam-Swasta 2009 pada pagi ini.
2. Saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua Ketua GLCs, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan kerana telah meluangkan masa bagi menjayakan Majlis pada pagi ini. Saya juga mengucapkan terima kasih di atas kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan Program Suai Kenal bagi peserta-peserta yang terlibat.
Hadirin yang dihormati sekalian
3. Sebagaimana sedia maklum, Program Cross Fertilisation Sektor Awam-Swasta ini adalah merupakan idea dan hasrat Y.A.B. Perdana Menteri yang telah disampaikan semasa berucap di dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh pada 28 April 2009 yang lalu. Y.A.B. Perdana Menteri telah mencadangkan supaya perubahan dilakukan kepada struktur kemasukan dalam Perkhidmatan Awam melalui kaedah sistem kemasukan pelbagai peringkat antara bakat sektor awam dan swasta bagi mengisi jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam. Dalam hubungan ini, Y.A.B. Perdana Menteri juga telah mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana pegawai Perkhidmatan Awam boleh dipinjamkan ke GLC, dan pegawai GLC ke Perkhidmatan Awam supaya mereka dapat menimba pengalaman, menggilap kemahiran dan menambah pengetahuan dalam bidang-bidang tugas yang berkaitan.
4. Mengikut perancangan, pegawai Perkhidmatan Awam yang ditempatkan di GLC di bawah program cross-fertilisation ini adalah dikehendaki pulang semula ke Perkhidmatan Awam setelah tamat tempoh penempatan, bagi menerajui Jabatan dan Agensi Kerajaan pada suatu hari kelak. Manakala, bagi pegawai GLC yang ditempatkan di dalam Perkhidmatan Awam dan menunjukkan prestasi yang tinggi dan cemerlang, mereka akan ditawarkan untuk meneruskan perkhidmatan di dalam Kerajaan, sekiranya berminat. Dengan cara ini, adalah diharapkan struktur Perkhidmatan Awam akan dapat diperkukuhkan, dipermoden dan diperkaya dengan bakat-bakat terbaik dari pelbagai sumber bagi menyediakan pemimpin generasi baru sektor awam yang berprestasi tinggi dan cemerlang untuk masa hadapan.
5. Sebagai permulaan, seramai 22 orang penjawat Awam terpilih telah dikenalpasti untuk ditempatkan di 9 buah GLC, iaitu 7 orang di Khazanah Nasional; 3 orang masing-masing di PROTON dan MAS; 2 orang masing-masing di Telekom Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan UEM; dan 1 orang masing-masing di AXIATA, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pos Malaysia Berhad. Sementara itu, 17 orang anggota dari kalangan GLC telah dikenal pasti untuk ditempatkan di pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan, iaitu 4 orang di Kementerian Kewangan; 2 orang masing-masing di Unit PFI JPM, Tourism Malaysia, dan SMIDEC; dan 1 orang masing-masing di ICU JPM, MAMPU JPM, MITI, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan dan Kepenggunaan, MOSTI dan JPA. Semua peserta akan memulakan tugas di penempatan masing-masing mulai hari Khamis, 1 Oktober 2009.
6. Bagi memastikan tahap kualiti dan kecemerlangan bagi program ini, peserta-peserta yang terpilih adalah dari kalangan mereka yang berprestasi tinggi dalam bidang tugas masing-masing. Bagi tujuan penempatan di GLC mahupun di agensi Perkhidmatan Awam, peserta-peserta telah melalui pelbagai proses dan peringkat saringan. Untuk peserta Perkhidmatan Awam, sebelum mendapat penempatan di GLC, mereka perlu menghadiri sesi temu duga terlebih dahulu seperti ingin mendapatkan pekerjaan tetap di GLC berkenaan. Ini adalah bagi memastikan kesesuaian peserta dengan bidang tugas yang bakal dijalani untuk tempoh sekurang-kurangnya 1 tahun atau maksimum 2 tahun. Ini juga bagi memastikan setiap pengalaman yang dilalui oleh peserta mempunyai manfaatnya yang tersendiri bagi menjadikan peserta lebih berdaya saing dan bersedia menerima pelbagai cabaran dalam melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab yang diberikan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Keupayaan, kebolehan dan kewibawaan Perkhidmatan Awam sering menerima cabaran dan kritikan dari pelbagai pihak, khususnya orang ramai yang sering berurusan dengan Kerajaan. Bagi memastikan Perkhidmatan Awam sentiasa cemerlang, tidak dapat tidak, perkhidmatan awam perlu “dicipta semula”, atau “re-invent” dengan mengambil masuk bakat-bakat baru yang akan menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan ini. Kemasukan bakat-bakat baru ke dalam Perkhidmatan Awam tidak semestinya pada Gred masuk yang rendah, tapi di pelbagai peringkat dengan mengambil kira pengalaman, pengetahuan dan kemahiran pemohon. Namun pada masa yang sama, kita anggota perkhidmatan awam yang sedia ada perlu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan masing-masing bagi menandingi bakat-bakat baru yang cemerlang. Ini pastinya akan menjamin tahap kualiti anggota Perkhidmatan Awam agar kita terus kekal relevan.
8. Dalam menuju kecemerlangan, kita perlu sentiasa mencabar diri kita, serta mencabar keadaan sedia ada, bagi meningkatkan lagi standard dan tahap perkhidmatan. Kita hendaklah mempunyai fikiran yang kreatif dan inovatif untuk mencari kaedah terbaru bagi meningkatkan kecekapan proses kerja serta melaksanakan penambahbaikan yang berterusan selaras dengan keadaan semasa. Kita perlu mempunyai sikap keterbukaan, challenging the status quo, dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Perkembangan pesat bidang teknologi dan proses globalisasi menuntut kita untuk mendahului cabaran yang mendatang. Jika kita masih leka dan berpuas hati dengan ilmu yang ada, selesa dengan cara kerja yang ada, bukan sahaja pengetahuan yang kita miliki menjadi obsolete, malah kita juga akan menerima nasib yang sama.
9. Sehubungan dengan ini, anggota Perkhidmatan Awam hendaklah dengan penuh komitmen menghayati, mendokong, mempelopori dan melaksanakan sepenuhnya gagasan: “1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
10. Berkhidmat dengan penuh integriti serta memberikan perkhidmatan yang berintegriti adalah merupakan aspek paling penting dan utama. Kita tidak boleh bertolak ansur sama sekali terhadap sebarang perlakuan dan amalan yang boleh menyebabkan keraguan terhadap integriti kita. Sebagai penjawat awam, kita memilih untuk berkhidmat dalam Kerajaan berdasarkan semangat dan motivasi yang tinggi untuk berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan beramanah demi pembangunan dan kesejahteraan negara. Bukan untuk wang ringgit, bukan untuk kekayaan.
11. Sehubungan itu, sekiranya ada perlakuan yang tidak berintegriti adalah menjadi kewajipan kita bersama untuk bertindak tegas dan tidak bertolak ansur bagi membendung perlakuan sedemikian daripada berleluasa, kerana pastinya perlakuan yang buruk ini akan menjejaskan imej Perkhidmatan Awam. Saya percaya sekiranya anggota Perkhidmatan Awam melaksanakan tugas dengan jujur, ikhlas dan beramanah, kita akan beroleh keberkatan dan mendapat kepuasan bekerja yang sebenar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang terpilih di dalam program yang julung kalinya dilaksanakan ini. Gunakanlah kesempatan ini untuk mempelajari perkara-perkara baru, budaya kerja cemerlang yang baru, melaksanakan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan, di mana diperlukan, dan tidak lupa juga menjalin serta membina rangkaian kenalan dari kalangan GLC dan perkhidmatan awam, yang pastinya akan dapat membantu dalam menjalankan tugas-tugas kita pada masa hadapan.
13. Saya juga amat berterima kasih kepada Ketua-Ketua GLC, Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan yang telah memberi galakan dan sokongan kepada pegawai masing-masing untuk menyertai program ini. Ini adalah merupakan “pelaburan” kita pada hari ini bagi mendapatkan “pulangan” yang bermutu pada hari kemudian, Insya Allah.
14. Tidak lupa juga, saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Khazanah Nasional Berhad yang telah banyak membantu dan menyelaras perkara-perkara yang perlu, bagi memastikan program ini direalisasikan serta berjalan lancar. Semoga kerjasama erat yang telah diwujudkan akan dapat diteruskan bagi pelaksanaan program-program lain yang berkaitan di masa akan datang.
15. Akhir kata dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Suai Kenal Bagi Peserta Program Cross-Fertilisation Sektor Awam-Swasta 2009.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamu’alaikum warahmatulahi
wabarakatuh.