National Asset And Facility Management (NAFAM) Convention 2009

October 26, 2009 8:50 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam 1 Malaysia dan Salam Sejahtera

Y. Bhg. Dato’ Sri Prof. Ir. Dr. Judin Abdul Karim
Ketua Pengarah Kerja Raya

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin Nya jua, kita dapat bersama-sama hadir dalam sesi persidangan pada petang ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya Jabatan Kerja Raya Malaysia atas jemputan kepada saya untuk menyampaikan ucaptama dalam konvensyen ini.

2. Berdirinya saya di sini, mengingatkan saya kembali pada Konvensyen yang sama yang julung-julung kalinya diadakan pada 2 tahun lepas, iaitu pada 13 dan 14 Ogos 2007, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Saya masih ingat, setelah merasmikan pembukaan NAFAM 2007 pada pagi Isnin 13 Ogos 2007, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah terus berlepas ke Brunei Darussalam untuk mengadakan lawatan rasmi, dan balik pada petang Selasa, 14 Ogos 2007 untuk merasmikan penutupan NAFAM 2007 pula. Ini menunjukkan betapa pentingnya isu pengurusan aset kepada Kerajaan, dan oleh itu ia harus dihayati dan diambil berat oleh semua penjawat awam.

3. Bertitik tolak dari NAFAM 2007, satu Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan atau JPAK telah diwujudkan, dengan KSN sebagai Pengerusi, dan JKR selaku Urus setia, bertujuan untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan mutu pengurusan aset secara strategik dan berkesan untuk diguna pakai oleh semua Kementerian dan jabatan Kerajaan. Hasil input dan kerjasama daripada wakil pelbagai Kementerian dan Institusi Pengajian Tinggi, serta pakar dari industri pengurusan aset dan fasiliti, JPAK telah berjaya merumuskan 2 output penting, iaitu,

(i) Pertamanya, satu Dasar Pengurusan Aset Kerajaan telah digubal bagi menggariskan hala tuju dan pelaksanaan pengurusan aset Kerajaan; DAN

(ii) Keduanya, Manual Pengurusan Aset Menyeluruh disediakan yang merupakan garis panduan untuk menjelaskan konsep Pengurusan Aset Kerajaan secara menyeluruh – bermula dari proses perancangan, pewujudan, penggunaan dan pelupusan aset; serta tanggungjawab dan amalan urus tadbir yang baik.

4. Dasar dan Manual tersebut telah dilancarkan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah pada Selasa 31 Mac 2009, untuk diguna pakai oleh semua agensi Kerajaan bagi memastikan nilai penggunaan dan keberkesanan aset Kerajaan mencapai tahap optimum. Dalam hubungan ini, pelancaran kempen “Aset Negara, 1 Amanah Bersama” oleh Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri, sempena perasmian NAFAM 2009 pada pagi ini, amatlah bertepatan sekali serta menggambarkan aspirasi pucuk pimpinan Negara dan Kerajaan untuk memupuk nilai, mentaliti dan budaya penyenggaraan kelas pertama bagi mengiringi pembangunan fizikal kelas pertama di kalangan rakyat Malaysia, khususnya penjawat awam.

5. Selaras dengan penekanan Kerajaan untuk menjadikan bidang perkhidmatan sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi negara menjelang tahun 2020, aspek pengurusan aset adalah antara bidang perkhidmatan yang boleh dimajukan. Saya percaya dengan pelaksanaan Dasar Pengurusan Aset Kerajaan, Malaysia berupaya untuk menjadi sebuah negara peneraju dalam bidang pengurusan aset di rantau ini. Malah saya difahamkan bahawa kini pun, Malaysia sudah mula dijadikan rujukan oleh negara-negara lain dalam bidang pengurusan aset.
Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Konsep Pengurusan Aset Kerajaan secara menyeluruh bermula dari proses perancangan, pewujudan, penggunaan dan pelupusan aset, berpandukan peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Dalam memastikan ini dilaksanakan dengan jayanya, aspek integriti dan ketelusan adalah amat penting, khususnya dalam proses perolehan Kerajaan yang melibatkan pelantikan kontraktor untuk melaksanakan projek-projek Kerajaan. Kontraktor yang terbaik hendaklah dilantik mengikut proses tender yang telus. Anggota Perkhidmatan Awam juga perlu membudayakan sifat “precision” dalam pelaksanaan dasar-dasar serta program-program yang telah dirancang. Kita hendaklah memastikan projek-projek yang dilaksanakan dipantau dengan teliti supaya tidak berlaku sebarang kelewatan.

7. Namun, kerap kali apa yang berlaku ialah projek-projek Kerajaan, tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Antara punca utama berlakunya kelewatan adalah kerana kelemahan pemantauan, kita tidak “turun padang” untuk melihat keadaan sebenar, dan terlalu bergantung kepada kontraktor berdasarkan laporan-laporan yang mereka sediakan. Kita juga sering bersikap terlalu “lenient” terhadap kontraktor dengan memberikan “extension of time” atau EOT sehingga beberapa kali, namun projek masih juga tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

8. Kita tidak mengenakan LAD, liquidated ascertained damages, kepada kontraktor yang tidak menepati perjanjian dan, kalaupun dikenakan, LAD tersebut akan diketepikan apabila dirayu. Maka tidak bermaknalah kita memberikan jadual mula dan jadual siap.

9. Keadaan ini perlu dihentikan, kerana ia memberi gambaran kepada rakyat bahawa Kerajaan lebih memihak kepada kontraktor. Selain itu, kelewatan penyiapan projek dan EOT pastinya menimbulkan kos tambahan kepada Kerajaan, selain pembaziran masa, dan bangunan tidak dapat dimanfaatkan seperti yang dihasratkan.

10. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyarankan supaya jabatan dan agensi Kerajaan bersikap lebih tegas dalam pelaksanaan serta pemantauan projek-projek. Dasar dan peraturan sedia ada adalah komprehensif dan mencukupi, dan perlu dikuatkuasakan sewajarnya. Mana-mana pihak yang cuai perlu dikenakan tindakan supaya kesalahan yang sama tidak berulang. Oleh kontraktor berkenaan. Tidak diikuti oleh kontraktor-kontraktor lain.

11. Namun, di sebalik ketegasan dalam menguatkuasakan sesuatu dasar atau peraturan sedia ada, kita perlu bersikap adil dan sentiasa berintegriti untuk kebaikan semua pihak. Begitulah sifat precision yang perlu dibudayakan oleh masyarakat Malaysia, dan kita selaku penjawat awam harus mempelopori usaha ini dengan memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kita menepati prinsip-prinsip ketepatan sebagaimana yang dihasratkan.

Saudara-saudari sekalian,

12. Kerajaan telah berjaya melaksanakan pembayaran bil dan tuntutan dalam tempoh 14 hari di semua Kementerian dan agensi Kerajaan. Bagi tahun 2008, untuk kesemua Kementerian, pembayaran bil dan tuntutan dalam tempoh 14 hari ialah 98.4% melibatkan 4,233,821 bil, bernilai RM72.2 bilion; pembayaran dalam tempoh 7 hari ialah 84.5% melibatkan 3,578,524 bil bernilai RM64.2 bilion; sementara pembayaran lewat melebihi 14 hari ialah 1.6% yang melibatkan 66,646 bil bernilai RM1.7 bilion.

13. Bagi tahun 2009 pula, untuk bulan September 2009, pembayaran dalam tempoh 14 hari oleh Kementerian ialah 98.7%, melibatkan 426,003 bil bernilai RM6.1 bilion; pembayaran dalam tempoh 7 hari ialah 89.1 % melibatkan 384,489 bil bernilai RM5.7 bilion; sementara pembayaran lewat melebihi 14 hari ialah 1.3% melibatkan 5,735 bil bernilai RM59.9 juta.

14. Ini menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil bil dan tuntutan yang dibayar melebihi tempoh 14 hari yang ditetapkan, dan peratusannya tidak sampai 1%. Antara sebab ini berlaku adalah kerana peruntukan tidak mencukupi dan sedang menunggu kelulusan Perbendaharaan Malaysia bagi peruntukan tambahan; tiada dokumen perjanjian; serta tindakan untuk mendapatkan kelulusan pembayaran di bawah AP59 dari Perbendaharaan Malaysia kerana tidak mematuhi peraturan kewangan, iaitu membuat perolehan perkhidmatan tanpa melalui proses sebut harga.

15. Prestasi pembayaran bil dalam tempoh 14 hari merupakan suatu kejayaan dan pencapaian yang amat membanggakan bagi Kerajaan, dan rata-rata orang ramai amat berpuas hati dengan pencapaian ini kerana memudahkan mereka berurusan secara terus dengan Kerajaan.

16. Namun demikian, saya telah menerima banyak email dan surat aduan daripada sub-kontraktor yang telah menyiapkan kerja-kerja untuk projek Kerajaan, tetapi tidak mendapat bayaran daripada kontraktor utama. Sebenarnya sub-kontraktor tersebut tidak boleh menuntut bayaran daripada Kerajaan kerana Perjanjian sub-kontraktor adalah dengan kontraktor utama, dan tidak melibatkan Kerajaan.

17. Bagi menyelesaikan perkara ini, dan sekiranya Kontraktor Utama dengan sengaja dan tanpa sebab yang munasabah tidak membuat bayaran kepada sub-kontraktor sedangkan kerja telah disempurnakan, mungkin tindakan patut diambil untuk menyenaraihitamkan Kontraktor sedemikian supaya tidak boleh menyertai tender bagi projek-projek Kerajaan.

18. Dalam hubungan ini, prinsip integriti dan ketelusan tidak hanya terpakai kepada penjawat awam sahaja, malah perlu diamalkan dan dibudayakan oleh semua rakyat Malaysia bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran sejagat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

19. Seterusnya, aset Kerajaan, khususnya bangunan-bangunan hendaklah digunakan dengan optimum. Sebagai contoh, kuarters yang dibina untuk pegawai-pegawai kastam yang kosong boleh diduduki oleh anggota polis atau guru-guru atau lain-lain penjawat awam yang memerlukan tempat tinggal. Begitu juga, kuarters Kerajaan umpamanya di Putrajaya yang kosong boleh dibuka untuk disewakan kepada pihak swasta dan orang ramai, sekiranya tidak digunakan bagi jangka masa yang panjang, dan dijangka tidak digunakan dalam masa yang panjang.

20. Dari rumah-rumah yang telah dibina dibiarkan kosong dan lama kelamaan menjadi rosak, ada lebih baiknya rumah-rumah tersebut dibuka kepada anggota perkhidmatan awam yang lain ataupun lain-lain pihak yang wajar untuk didiami. Pada masa yang sama Kerajaan akan mendapat hasil daripada penyewaan tersebut. Inilah contoh pemakaian konsep “monetisation of government assets” yang sedang dipelopori oleh Kerajaan masa kini.

21. Ianya juga adalah selaras dengan pengumuman oleh Y.A.B. Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2010 pada hari Jumaat, 23 Oktober 2009, di mana usaha akan diambil untuk menambah hasil Kerajaan dengan menggalakkan jabatan dan agensi kerajaan menyewakan ruang bangunan, dewan, asrama, makmal dan peralatan latihan kepada sektor swasta dan orang ramai.

22. Namun demikian, langkah tersebut hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan aktiviti teras jabatan dan agensi berkaitan. Sebagai insentif, Kerajaan bersetuju membenarkan agensi menggunakan 50 peratus hasil sewaan untuk kegunaan jabatan, manakala 50 peratus lagi akan diserah sebagai hasil Kerajaan. Seperti yang diumumkan, langkah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010 dan saya harap jabatan dan agensi Kerajaan mengambil kesempatan ini menggunakan kemudahan dan ruang yang sedia ada secara terbaik dan optimum mungkin.

23. Di samping itu, dalam pengumuman Belanjawan yang sama, Kerajaan telah mengenal pasti aset Kerajaan termasuk tanah dan bangunan yang boleh dibangunkan secara usaha sama ataupun dijualkan kepada syarikat berkaitan Kerajaan. Ini membolehkan Kerajaan mendapat hasil kewangan atau pendapatan dari aset-aset yang sedia ada, daripada tanah atau bangunan tersebut terbiar atau terbengkalai begitu saja.

Hadirin yang dihormati sekalian,

24. Aspek penyelenggaraan adalah merupakan aspek penting dalam konsep pengurusan aset secara menyeluruh. Penjagaan aset bukanlah bidang tugas satu pihak tertentu sahaja. Kita perlu menyemai dan membudayakan prinsip penjagaan dan penyenggaraan adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk orang ramai dan orang awam. Ini bermakna, sekiranya terdapat apa jua kerosakan terhadap aset Kerajaan, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaporkan kerosakan tersebut, untuk diperbaiki dengan segera.

25. Sebagai contoh, sekiranya kita mendapati tandas tidak berfungsi dengan baik, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaporkan kerosakan tersebut dan memastikan sebarang kerosakan dibaiki. Kita juga bertanggungjawab memastikan harta benda Kerajaan tidak dirosakkan, diconteng, mahupun dicuri oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Berkaitan dengan ini juga adalah penjagaan kebersihan bangunan dan persekitaran bagi memastikan aset dan bangunan Kerajaan terus terpelihara. Ini semua memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak untuk sama-sama menguatkuasakan peraturan-peraturan yang sedia ada.

Hadirin yang dihormati sekalian,

26. Kerajaan memandang serius terhadap isu pengurusan dan penyenggaraan aset awam kerana sekiranya tidak ditadbir dan dipelihara dengan baik akan menjejaskan reputasi Kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat. Pada hemat saya, garis panduan, peraturan, prosedur mahupun akta dan undang-undang sedia adalah lengkap dan jelas. Kelemahan utama kita adalah dari aspek penguatkuasaan peraturan dan undang-undang tersebut.

27. Maka, dalam hal ini, saya ingin mengajak penjawat awam untuk meningkatkan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing. Di mana terdapat kekurangan atau “loop hole” dari aspek perundangannya, maka kita perlu memperbaiki kelemahan tersebut dengan mengesyorkan penambahbaikan kepada peraturan mahupun perundangan sedia ada. Ini semua memerlukan komitmen semua pihak untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab secara bersepadu dan bekerjasama erat antara satu sama lain.

28. Adalah diharapkan melalui pengurusan aset Kerajaan secara menyeluruh, tersusun dan terancang, akan memastikan segala aset yang kita miliki menjadi kebanggaan negara dan mampu memberikan faedah yang berterusan sehingga generasi yang akan datang.

29. I want to leave you with a simple and clear message:

(i) We must implement what is planned / decided;

(ii) We must enforce rules and regulations.

Sekian,
Wabillahittaufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Leave a Reply



one + 7 =

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →