Tadbir Urus Baik: Penarafan Sistem Penyampaian Khidmat Awam Gemilang

December 7, 2009 8:25 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmanir rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1 Malaysia dan Salam Sejahtera

Y.Bhg. Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Bin Abdul Ghani
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak

Y. Bhg. Dato’ Abu Kassim Mohamed
Timbalan Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan keizinan Nya kita dapat bersama-sama hadir dalam Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan, JKP 2009 pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur, iaitu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, SPRM kerana menjemput saya untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Tadbir Urus Baik: Penarafan Sistem Penyampaian Khidmat Awam Gemilang” pada Konvensyen ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

2. Melihat kepada tajuk kertas pembentangan ini, terdapat 2 aspek yang perlu diberikan penekanan, iaitu “Tadbir Urus” dan “Penarafan”. Kedua-dua aspek ini adalah penting, malah saling berkait dan perlu diberikan perhatian serius dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

3. Secara umumnya, apabila sesebuah organisasi mengamalkan tadbir urus baik dalam setiap pelaksanaan tugas dan tanggungjawabnya, berteraskan prinsip integriti, akauntabiliti, pengamanahan dan pengawasan serta ketelusan, maka ini akan memungkinkan organisasi tersebut untuk berjaya serta mendapat penarafan yang tinggi dan cemerlang.

4. Sehubungan itu, tadbir urus baik merupakan suatu proses, bermula dengan perancangan yang teliti, seterusnya pelaksanaan pentadbiran dan pengurusan organisasi yang cekap, berkesan, adil dan saksama, telus, beramanah, berakauntabel dan berintegriti. Pelaksanaan berkesan itu pula diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak pelanggan dan stakeholders.

5. Suatu tadbir urus itu hanya akan dikatakan sebagai baik atau cemerlang apabila mencapai suatu tahap atau piawaian serta penarafan tertentu, yang merupakan pengukur prestasi pencapaian ke arah budaya kecemerlangan organisasi. Apabila tahap yang cemerlang atau penarafan yang tinggi telah dicapai, usaha tidak boleh terhenti di situ. Malah adalah penting dipastikan tahap cemerlang tersebut dipertahankan dan dikekalkan. Ini bermakna, amalan tadbir urus baik merupakan suatu proses yang berterusan dan hendaklah dibudayakan bagi menjamin kecemerlangan yang berpanjangan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Dalam era globalisasi masa kini, aspek penarafan adalah suatu yang menjadi lumrah. Malaysia turut ditarafkan dari pelbagai aspek, termasuk daya saing negara di peringkat antarabangsa melalui pelbagai laporan penarafan seperti Laporan Bank Dunia, IMD World Competitiveness Report, WEC Global Competitiveness Report dan sebagainya.

7. Semakin tinggi kedudukan sesebuah negara dalam senarai penarafan tersebut, semakin tinggi pula status dalam konteks daya saing berbanding negara lain. Antara komponen penting yang menentukan kedudukan Malaysia dalam laporan-laporan penarafan oleh badan-badan antarabangsa tersebut adalah prestasi perkhidmatan awam, yang banyak memberi kesan signifikan kepada penarafan keseluruhan daya saing negara.

8. Pada masa ini, prestasi pelbagai aspek pengurusan diukur dan diberi penarafan oleh agensi Kerajaan mengikut bidang kuasa masing-masing. Sebagai contoh, Jabatan Audit Negara melaksanakan penarafan agensi mengikut Indeks Akauntabiliti atau IA, bagi mengukur akauntabiliti dan integriti Pegawai Pengawal dalam menguruskan kewangan agensi dari segi mematuhi segala peraturan dan prosedur kewangan Kerajaan.

9. Hasil daripada sistem penarafan Indeks Akauntabiliti ini, membolehkan Pegawai Pengawal mengetahui aspek pengurusan kewangan manakah yang memerlukan penambahbaikan. Ini, seterusnya diharap akan dapat mempertingkatkan lagi prestasi pengurusan kewangan sektor awam, sekali gus memperbaiki imej perkhidmatan awam dan imej tadbir urus agensi berkaitan.

10. Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melaksanakan penilaian penarafan ke atas semua pihak berkuasa tempatan berpandukan 4 kriteria utama, iaitu pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk. MAMPU pula telah melaksanakan penilaian Star Rating ke atas agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan serta Pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memantapkan tahap akauntabiliti dan tadbir urus sistem penyampaian khidmat awam agensi Kerajaan.

11. Hasil penemuan program Star Rating oleh MAMPU menunjukkan bahawa semua agensi telah mengambil langkah-langkah positif untuk meningkatkan prestasi pengurusan serta memupuk budaya kualiti yang berkesan di organisasi masing-masing.

12. Semua inisiatif penarafan ini adalah penting bagi perkhidmatan yang diterajui oleh agensi-agensi berkenaan. Pada masa yang sama mungkin terdapat elemen-elemen dalam sistem penarafan masing-masing yang perlu diintegrasikan ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih mantap dan berkesan dalam sektor awam. Justeru saya berharap sistem-sistem penarafan yang sedia ada, diselaraskan dengan lebih efektif lagi oleh agensi-agensi yang berkenaan, khususnya pihak MAMPU.

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Bercakap tentang sistem penyampaian perkhidmatan awam, kita tidak boleh berkompromi lagi dengan kelemahan yang sering dikaitkan dengan perkhidmatan awam. Pada hakikatnya, rakyat kini telah bosan dengan kelemahan-kelemahan tersebut seperti yang didedahkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008. Ini kerana kelemahan-kelemahan terus berlaku pada setiap tahun walaupun Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini telah membangkitkan mengenai perkara yang sama.

14. Dalam hubungan ini, dan sebagaimana saudara-saudari sedia maklum, saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan berkaitan membuat siasatan lanjut terhadap kes-kes penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang awam yang telah dikenal pasti dan seterusnya mengenakan hukuman yang setimpal terhadap mereka yang terlibat, sama ada tindakan disiplin mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) ataupun mengesyorkan surcaj di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957. Sekiranya terbukti ia melibatkan kes jenayah, laporan hendaklah dibuat kepada PDRM atau SPRM. Bagi saya, tindakan ini adalah perlu dan penting serta selaras dengan usaha untuk menerapkan budaya tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam sekali gus menjurus kepada prinsip budaya cemerlang dan berprestasi tinggi.

15. Dalam keadaan di mana ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan awal, adalah penting bagi kita semua lebih komited untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat serta lebih teliti dalam menguruskan dana awam. Perbelanjaan berhemat perlu dibudayakan di semua peringkat perkhidmatan awam, dan adalah relevan pada setiap masa, bukan hanya semasa negara menghadapi keadaan kegawatan. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat Belanjawan Kerajaan sentiasa bertambah pada setiap tahun.

16. Jika kita sentiasa berhati-hati dan “berkira” apabila membelanjakan wang sendiri, perasaan yang sama sepatutnya ada ketika menguruskan belanjawan yang telah diamanahkan kepada kita. Kita perlu sentiasa ingat bahawa sumber kewangan Kerajaan bukanlah ibarat “a bottomless pit of fund”. Setiap perbelanjaan yang dilakukan hendaklah berlandaskan kepada prinsip “value for money”, dan ini pastinya memerlukan perancangan yang teliti sebelum sesuatu komitmen berbelanja dibuat.

17. Perancangan yang teliti tersebut hendaklah mengambil kira maklumat yang terkini mengenai kos sesuatu barangan atau perkhidmatan, spesifikasi, teknologi, serta amalan terbaik supaya sesuatu perbelanjaan itu menghasilkan impak atau outcome yang terbaik dan menghindari pemborosan mahupun pembaziran. Bagi saya ini juga merupakan aspek tadbir urus baik yang perlu diterapkan, khususnya dalam mengurus sumber kewangan supaya sejajar dengan matlamat strategik agensi.
Hadirin yang dihormati sekalian,

18. Organisasi yang cemerlang ialah apabila semua pelanggan yang datang mendapatkan perkhidmatan menerima layanan baik yang sama, konsisten dan seragam. Tanpa membezakan siapa yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan – baik seorang hartawan, dermawan, ahli politik, ahli perniagaan, mahupun orang miskin atau daif dari kampung dan pendalaman; juga tidak kira apa jua bangsa dan agamanya. Baik dari Putrajaya, Lubuk Antu, Cherok Paloh atau dari mana dan di mana sahaja. Semua akan dilayani dengan prihatin, terhormat, dan terbaik. Organisasi yang cemerlang sentiasa mengamalkan budaya mendahulukan serta mementingkan rakyat dan pelanggan.

19. Dalam usaha kita memenuhi kehendak pelanggan, kita perlu mempunyai mindset untuk membawa perubahan. Anjakan paradigma berterusan, dinamik, responsif dan berinovasi, serta membentuk minda dan agenda untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Rakyat menaruh harapan tinggi kepada penjawat awam. Rakyat mengharapkan dan memerlukan penjawat awam yang berupaya berfikir dan mampu berubah mengikut kehendak dan cita rasa stakeholders dan pelanggan. Rakyat juga semakin berani menuntut dan mengetahui hak mereka.

20. Sebagaimana yang ditekankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, “the government knows best era is over.” Tadbir urus yang baik adalah faktor penting dalam memenuhi kehendak dan hasrat rakyat yang semakin mencabar. Oleh itu, adalah penting penjawat awam diberi pendedahan serta dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang terkini dan di peringkat global mengenai tahap tadbir urus yang baik dalam memenuhi kehendak pelanggan. Di samping itu, adalah wajar bagi kita meneladani konsep tadbir urus negara-negara jiran, contohnya Singapura, yang mengamalkan dynamic governance, think ahead, think across dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam.

Saudara-saudari sekalian,

21. Pelbagai pekeliling dan arahan telah dikeluarkan yang bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kecekapan serta menambah baik prestasi sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam. Pekeliling dan arahan tersebut merangkumi pelbagai aspek pelaksanaan tugas, dari perkara yang boleh dianggap remeh seperti cara menjawab telefon dengan sopan dan baik, cara panggilan dan pengurusan mesyuarat sehinggalah kepada perkara-perkara yang melibatkan tatacara pengurusan kewangan, mengurangkan karenah birokrasi, mengukuhkan integriti sektor awam dan banyak lagi. Prinsip-prinsip tadbir urus baik telah diterapkan menerusi pelbagai pekeliling dan arahan tersebut bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa mengamalkan dan melaksanakan tadbir urus baik dalam pelbagai aspek tugasan.

22. Namun, usaha-usaha ini tidak akan berjaya dalam mencapai matlamatnya sekiranya anggota perkhidmatan awam tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan serta menjayakannya. Pada kebiasaannya apabila suatu arahan atau pekeliling baru dikeluarkan, pelaksanaannya adalah efektif di peringkat awal sahaja kerana pelaksanaannya dipantau dengan rapi di peringkat awal.

23. Selepas 3 bulan, Arahan tinggal sebagai arahan semata-mata dan Pekeliling tinggal di atas kertas. Tiada proses penghayatan yang berlaku, tiada pembudayaan di setiap peringkat perkhidmatan awam. Maka tidak hairanlah, kita sering menerima aduan yang sama mengenai anggota perkhidmatan awam tidak menjawab telefon; petugas kaunter yang tidak mesra pelanggan; dan kesalahan-kesalahan yang sama dibangkitkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun.

24. Dalam hubungan ini, penjawat awam perlu memberi penekanan kepada pembentukan peribadi atau character building yang meliputi pengamalan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif. Keperibadian diri yang baik dibina dari suatu keputusan yang terbit dalam diri kita. Ia terbit dari niat dan cita-cita untuk melakukan perubahan yang bermakna dalam tempoh waktu yang ada.

25. Pada saya, penting diberi penekanan kepada pembinaan sahsiah diri kerana bagi yang mempunyai keperibadian yang tinggi, mereka akan sentiasa melakukan tindakan yang betul dan konsisten. Tidak kira sama ada sedang dipantau atau dinilai, malah dalam apa jua keadaan, mereka yang berkeperibadian tinggi sentiasa bertindak dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Hadirin yang dihormati sekalian,

26. Penjawat awam perlu sedar, faham dan insaf mengenai tugas, tanggungjawab dan amanah yang dipikul, serta komited dan passionate dalam melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Ada bezanya di antara “melaksanakan tanggungjawab” dengan “melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan, semangat berkobar-kobar dan cemerlang”. Yang pertama tadi, tanggungjawab dilaksanakan juga, tetapi mempunyai unsur “sambil lewa” dan tiada tumpuan sepenuhnya dalam menjalankan tugasan.

27. Komitmen yang lebih halus dan tulus ialah wujudnya keikhlasan dalam bekerja. Kerja yang dilaksanakan akan menjadi lebih cemerlang sekiranya wujud keikhlasan, di samping mendapat keberkatan dalam hidup dan memperoleh keredhaan Allah SWT jua, Insya Allah.

28. Saya harap, apabila saudara-saudari pulang ke pejabat masing-masing nanti, lihat dan nilai semula apa yang telah dilaksanakan, sama ada ia berjaya mencapai objektif dan matlamat yang ditetapkan. Malah apa yang lebih penting, kaji semula apa yang belum lagi dilaksanakan. Sediakan perancangan, letakkan sasaran atau deadline tertentu untuk merealisasikan outcome yang diharapkan.

29. Take time to reflect on what we have done so far – whether we have done enough; whether we have done things right. Tidak perlu lagi tunggu arahan baru – Just Do It! Masih belum terlambat lagi untuk kita melaksanakan perubahan serta transformasi dalam perkhidmatan awam, yang tiada kesudahannya.

Saudara-saudari sekalian,

30. Usaha berterusan dalam membudayakan tadbir urus baik dalam sektor awam adalah sangat membanggakan. Ini kerana tadbir urus yang mantap merupakan asas kepada jentera pentadbiran Kerajaan yang kukuh dan berintegriti. Ini selaras dengan usaha dan gerakan untuk mewujudkan serta memperkukuhkan perkhidmatan awam yang lebih gemilang dan terbilang.

31. Melalui penarafan-penarafan yang dijalankan, amalan-amalan terbaik atau best practices yang dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan akan diuar-uarkan, dan didokumenkan untuk dicontohi dan diperluaskan penggunaannya oleh agensi-agensi Kerajaan yang lain. Selaras dengan Gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, perkhidmatan awam mesti berani melakukan perubahan atau transformasi, seperti yang dituntut oleh kepimpinan negara dan rakyat.

32. Dengan usaha gigih berterusan yang sedang dilaksanakan, saya berkeyakinan penuh Perkhidmatan Awam mampu memenuhi kehendak baru yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Sekian
Wabillahittaufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply



four + = 7

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →