Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA 11)
Bismillahir rahmaanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera, dan
Salam 1 Malaysia
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia,
Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet,
Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar,
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Perkhidmatan, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Eksekutif Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs), Def-def Jemputan dari Sektor Swasta, Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS,
serta
Warga Perkhidmatan Awam yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taa’la kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat berhimpun dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam kali yang ke-11 pada pagi ini.
2. Bagi pihak Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia atas kesudian Y.A.B. Dato’ Sri menghadiri majlis ini, dan seterusnya menyampaikan amanat kepada kami, khususnya anggota Perkhidmatan Awam. Kehadiran Y.A.B. Dato’ Sri sebagai pemimpin utama negara ke majlis ini sesungguhnya melambangkan keprihatinan yang tinggi serta menjadi perangsang yang meniup semangat kami untuk bekerja dengan lebih komited, demi merealisasikan matlamat negara, sebagaimana yang dihasratkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri sebagai Ketua Kerajaan.
3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar, Timbalan-Timbalan Menteri, tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis Perdana Perkhidmatan Awam pada kali ini. Sesungguhnya kehadiran Anggota Pentadbiran serta pegawai Perkhidmatan Awam pada majlis ini amatlah bermakna bagi mengekalkan dan memperkukuhkan kerjasama rapat yang sedia terjalin demi kemajuan dan pembangunan negara kita.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
4. Sejak memegang pucuk pimpinan negara hampir 1 tahun yang lalu iaitu pada 3 April 2009, semua penjawat awam dapat melihat Y.A.B. Dato’ Sri secara berterusan membawa rakyat, Perkhidmatan Awam, sektor swasta dan semua segmen masyarakat untuk sama-sama bergandingan bahu, demi merealisasikan Kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat. Visi Y.A.B. Dato’ Sri adalah jelas, iaitu pencapaian sebuah negara maju yang mengutamakan rakyat, agar tiada siapa pun walau berada di pelosok mana di bumi Malaysia ini, malah yang berada di luar negara, akan merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada manfaat arus kemajuan.
5. Dalam hubungan ini, Y.A.B. Dato’ Seri telah pun meletakkan kepercayaan penuh kepada seluruh anggota Perkhidmatan Awam untuk sama-sama memenuhi janji dan memberikan sepenuh komitmen, dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) selaras dengan prinsip gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. 2 tonggak ini, yang akan disokong dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10 merupakan pelengkap kepada “roadmap” yang bakal dilalui oleh jentera Perkhidmatan Awam dalam menuju destinasi ke arah sebuah negara yang berpendapatan tinggi dan maju menurut acuan sendiri.
6. Dalam memperkenalkan idea-idea mengenai transformasi pembangunan negara, Perkhidmatan Awam merasa bangga kerana sikap keterbukaan Y.A.B. Dato’ Sri untuk menerima idea-idea baru bernas dari anggota Perkhidmatan Awam, di mana ada kalanya idea tersebut datangnya dari pegawai-pegawai muda Perkhidmatan Awam.
7. Dengan kesungguhan Y.A.B. Perdana Menteri memperkenalkan tonggak kepada penjanaan pembangunan negara, saya turut berharap agar kita semua selaku penjawat awam dapat melangkah dengan lebih pantas dalam melaksanakan transformasi ini. Penjawat awam hendaklah sentiasa bersedia dan berdedikasi dengan tugasan masing-masing serta melaksanakan penambahbaikan dengan cepat dan pantas apabila ia diperlukan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Tema persidangan kali ini, iaitu “Transformasi, Pemikiran-Bertindak Perkhidmatan Awam, Menjamin Keutamaan Pencapaian”, merujuk kepada perlu pentingnya transformasi cara berfikir dan bertindak kita, anggota Perkhidmatan Awam, bagi merubah lanskap sosioekonomi negara dengan pantas dan berkesan. Kepantasan dalam membuat keputusan serta kepantasan dalam pelaksanaan perlu sentiasa dipraktikkan dan diamalkan. Anggota Perkhidmatan Awam juga perlu mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam mencapai kaedah terbaik untuk memenuhi kehendak pelanggan, di samping mengoptimumkan prinsip “value for money”. Ini bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati segera dan dapat disalurkan secara saksama kepada setiap rakyat.
9. Justeru itu, saya mengajak semua anggota Perkhidmatan Awam untuk menyerapkan mantera kepantasan bertindak menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan pembangunan inovasi dan pembaharuan yang berterusan. Kepantasan bertindak juga berkait rapat dengan kepantasan berkomunikasi. Saya gembira kerana ramai pimpinan tertinggi Perkhidmatan Awam menggunakan e-mail sebagai medium komunikasi yang pantas dalam memberikan respons, pandangan atau keputusan. Kerap kalinya e-mail yang saya terima daripada mereka, dihantar pada waktu yang lazimnya untuk beristirehat. Sehubungan itu, saya merasakan sudah sampai masanya penggunaan dan respons terhadap email dari pelbagai pihak, dijadikan faktor penting dalam rating atau penilaian prestasi Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua-Ketua Jabatan.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
10. Kehadiran semua para hadirin khususnya anggota Perkhidmatan Awam pada MAPPA ke-11 kali ini, sesunggunya tidak lain tidak bukan adalah untuk mendengar idea-idea dan nasihat daripada Y.A.B. Dato’ Sri secara terus, selain mendengar pandangan dan maklum balas secara terbuka daripada para hadirin.
11. Untuk itu, saya dengan segala hormat dan takzimnya menjemput Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan amanat beliau, sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 kali ini.
Dengan segala hormatnya dipersilakan.