Majlis Perasmian Kempen “Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah”

April 26, 2010 5:43 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmaanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid bin Mohamad, Pengerusi
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, SPRM

Y. Bhg. Dato’ Abu Kassim bin Mohamed
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM

Ketua-Ketua Jabatan Agensi Penguatkuasaan

Pegawai-Pegawai Kanan SPRM
Ahli Jawatankuasa Panel-Panel Pemeriksaan dan Perundingan SPRM

Tuan Hj Omar bin Hj Osman
Presiden CUEPACS

YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan izin Nya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Kempen “Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah” pada petang ini.

2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan syabas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana menganjurkan kempen ini sebagai satu usaha menyedarkan masyarakat bahawa Perkhidmatan Awam pada hari ini telah banyak berubah, menjadi lebih efektif, berkesan dan dinamik, dengan dibarisi pegawai dan anggota yang mempunyai tahap integriti serta jati diri yang tinggi, yang tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

INISIATIF KERAJAAN

3. Rasuah adalah musuh utama negara. Dalam banyak negara membangun, usaha memerangi rasuah merupakan agenda utama dalam pembangunan negara. Begitu juga dalam negara kita, usaha memerangi rasuah adalah suatu agenda penting. Kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, menjanjikan sebuah pentadbiran yang sentiasa memberi tumpuan kepada kehendak rakyat. Turut dijanjikan ialah tahap prestasi jentera pentadbiran awam yang kukuh bagi memastikan aspirasi dan kehendak rakyat benar-benar dapat direalisasikan.

4. Program Transformasi Kerajaan yang telah dilancarkan adalah usaha jitu ke arah memenuhi janji Kerajaan tersebut. Adalah amat perlu bagi kita, warga perkhidmatan awam, sebagai pelaksana dasar-dasar Kerajaan, mempelopori satu transformasi minda, etika kerja dan kaedah penyampaian perkhidmatan bagi mendukung agenda murni tersebut. Proses transformasi ini adalah penting dalam usaha kita menyediakan perkhidmatan yang melangkaui ekspektasi semua segmen rakyat dan pelanggan. Bagi Perkhidmatan Awam, gagasan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” bukan sekadar satu retorik semata-mata, bahkan ianya sebagai satu tuntutan yang seharusnya kita tunaikan dan jayakan bersama.

5. Sejajar dengan Gagasan tersebut, Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini juga merupakan langkah bagi meningkatkan lagi integriti dan kecekapan Perkhidmatan Awam, khususnya bagi agensi penguatkuasaan. Ini kerana, agensi penguatkuasaan merupakan barisan hadapan yang paling kerap bertemu dan berinteraksi dengan masyarakat, justeru menyumbang kepada memberi gambaran terhadap imej kerajaan. Jika imej agensi penguatkuasaan positif dan baik, maka saya yakin imej kerajaan pada kaca mata orang ramai adalah juga baik, Insya Allah.

Saudara-saudari sekalian,

6. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap penyampaian sistem perkhidmatan awam supaya dapat menjadi model kepada lain- lain sektor di negara kita, termasuk sektor swasta. Antara langkah kerajaan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di dalam sektor awam, serta membendung berleluasanya amalan rasuah, adalah dengan memudahkan urusan orang ramai dan sektor swasta dengan agensi-agensi Kerajaan. Ini kerana sekiranya semua urusan boleh dibuat dengan mudah dan cepat, tidak ada sebab kenapa seseorang perlu memberikan sebarang upahan yang di luar peraturan kepada sesiapa untuk mendapat perkhidmatan yang cepat.

7. Melalui gabungan kerjasama sektor awam dan sektor swasta, termasuk melalui PEMUDAH, banyak proses dan prosedur telah dapat dipermudahkan, kerenah birokrasi dihapuskan atau dikurangkan serta tempoh masa dipendekkan apabila berurusan di jabatan dan agensi Kerajaan.

8. Sebagai contoh, permohonan Pasport Malaysia dapat diselesaikan dalam tempoh 2 jam; pendaftaran hartanah dilakukan dalam tempoh 2 hari; pendaftaran perniagaan dalam tempoh 3 hari. Penggunaan MyID untuk semua urusan individu dengan pelbagai agensi Kerajaan amat memudahkan kerana kita perlu mengingati satu nombor sahaja. Begitu juga MyCOID untuk semua urusan perniagaan.

9. Kerajaan turut mengambil kesempatan perkembangan dalam bidang teknologi khususnya ICT bagi memperkasakan lagi sistem penyampaian perkhidmatan. Rakyat boleh berurusan secara online dalam banyak urusan dengan Kerajaan seperti pembayaran pelbagai cukai termasuk cukai pendapatan, cukai tanah dan cukai harta, pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, pembayaran pelbagai jenis saman dan sebagainya.

10. Perkhidmatan secara online disediakan untuk keselesaan rakyat tanpa mereka perlu menghadirkan diri di kaunter jabatan Kerajaan. Transaksi juga boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan dari mana-mana pelosok tempat, baik dari dalam mahupun dari luar negara yang mempunyai sambungan internet. Sekiranya semua urusan boleh dibuat mengikut peraturan dan penuh integriti, sebegitu mudah, ia juga mampu menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah. Sehingga kini, Perkhidmatan Awam telah berjaya menyediakan sebanyak 1,277 perkhidmatan online untuk kegunaan pelanggan dan ini akan ditingkatkan lagi pada masa hadapan.

11. Menyedari bahawa gejala rasuah telah membebankan negara dengan kos yang signifikan, Kerajaan telah mengenal pasti usaha membanteras rasuah sebagai salah satu dari 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang diberikan perhatian penting di bawah Program Transformasi Kerajaan atau GTP. Dianggarkan bahawa rasuah boleh menyebabkan kos sebanyak RM10 bilion setahun atau 1 hingga 2 peratus daripada KDNK, apabila keputusan perniagaan, seperti pemberian kontrak, perolehan, dan sebagainya, dilakukan dengan tujuan yang tidak betul.

12. Justeru, memandangkan kepada isu yang mendesak tersebut, Kerajaan melalui GTP telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam usaha membanteras rasuah. Ini termasuk, untuk meraih semula keyakinan orang ramai terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan JPJ. Begitu pun, inisiatif GTP tidak semata-mata tertumpu kepada anggota penguatkuasaan sahaja, pelaksanaannya merangkumi semua penjawat awam.

13. Apa yang penting yang ingin ditekankan, ialah gejala rasuah yang dikatakan banyak berlaku di kalangan agensi penguatkuasaan merupakan suatu yang salah dan menjijikkan yang telah memberi imej yang buruk kepada Perkhidmatan Awam. Gejala tersebut hendaklah dihentikan sama sekali bagi merealisasikan Perkhidmatan Awam yang cekap, berkesan dan berintegriti. Ini pastinya akan menyumbang kepada pemantapan daya saing negara di persada antarabangsa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PERANAN AGENSI PENGUATKUASAAN

14. Kempen “Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah” yang melibatkan agensi penguatkuasaan utama di negara ini juga bermakna kita memberi satu signal atau sebagai amaran kepada masyarakat umum bahawa anggota Perkhidmatan Awam tidak mudah disogok dengan rasuah. Bahawa kita mempunyai integriti yang tinggi. Ini bermakna kita perlu sentiasa memastikan atau “check” diri kita sesama sendiri agar tidak terlibat dengan rasuah. Ini akan memberikan mesej penting bahawa agensi penguatkuasaan tidak boleh dan tidak mudah untuk di“gula-gulakan” dengan wang ringgit bagi melepaskan pesalah yang telah melanggar undang-undang.

15. Jika sebelum ini, kita biasanya mendengar dan membaca berita-berita penjawat awam ditangkap kerana menerima rasuah, melalui kempen ini kita berharap akan didedahkan pula dengan berita-berita tangkapan terhadap orang ramai yang cuba memberi rasuah kepada penjawat awam. Mesej dan matlamatnya adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh di rasuah. “The public service is incorruptible”.

16. Kita harus sedar bahawa jika tidak ada pemberi maka tidak akan ada juga penerima. Jika salah satu pihak menolak rasuah, maka perlakuan rasuah ini tidak akan berlaku. Dari sudut agama Islam, perbuatan rasuah ini dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud, “Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima, malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah. Saya percaya agama-agama lain juga mempunyai pandangan yang sama.

17. Berasaskan analisis yang dibuat ke atas profil pemberi rasuah sepanjang 10 tahun lalu, hampir 90 peratus pemberi rasuah terdiri daripada individu-individu yang telah melakukan kesalahan jenayah dan berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan. Antara kesalahan yang dilakukan termasuklah penyeludupan barang-barang terlarang seperti dadah, rokok, arak dan minyak diesel; melindungi dan menggaji pendatang tanpa izin; pembalakan haram; perlombongan haram; pengedaran dan penyalahgunaan dadah; aktiviti perjudian, pelacuran, memperdagangkan manusia serta kesalahan-kesalahan lain yang ringan, seperti kesalahan trafik dan berniaga tanpa lesen.

18. Secara kesimpulannya, pemberi rasuah terdiri daripada mereka yang menjalankan kegiatan haram dan hasil kegiatan haram tersebut mempunyai impak yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai serta merugikan Kerajaan dan negara. Harus diingati juga bahawa kesan daripada perbuatan rasuah ini adalah lebih buruk, bukan sahaja kepada pemberi dan penerima rasuah, malah kepada seluruh anggota masyarakat dan negara. Justeru, kita mahu Agensi Penguatkuasaan, selaku frontliner dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat, menjadi contoh kepada semua agensi Kerajaan yang lain dengan menghindari daripada gejala rasuah.

19. Dalam hubungan ini juga, bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei yang jatuh pada hari Sabtu ini, saya ingin mengajak seluruh anggota Perkhidmatan Awam untuk bersama-sama melakukan transformasi minda dan cara bekerja bagi menjayakan Kempen “Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah”. Inilah masanya yang paling baik untuk seluruh pekerja perkhidmatan awam melakukan perubahan. Saya percaya CUEPACS akan dapat membantu memastikan kempen ini disambut dan direalisasikan sebagaimana yang dihasratkan.
Hadirin yang dihormati sekalian,

20. Sempena dengan Majlis Pelancaran Kempen pada petang ini, SPRM akan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada pegawai-pegawai berintegriti dari agensi penguatkuasaan yang telah menunjukkan tahap integriti yang tinggi, sekali gus mampu menjadi contoh tauladan yang baik kepada semua penjawat awam. Kesemua mereka telah menolak pemberian rasuah dan telah melaporkan kepada SPRM sehingga tertangkapnya pesalah rasuah yang berkenaan.

21. Syabas dan tahniah kepada pegawai-pegawai ini dan diharapkan komitmen dan dedikasi mereka memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa boleh “dijual beli” oleh mana-mana pihak dapat dicontohi. Saya percaya jika semua penjawat awam dapat menjadikan amalan “menolak rasuah” ini sebagai suatu budaya, pada satu hari nanti tidak akan ada sesiapa yang berani menawarkan rasuah kepada penjawat awam. Saya harap hari tersebut akan dapat direalisasikan tidak lama lagi, Insya Allah.

22. Pelaksanaan kempen ini banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua Ketua Agensi Penguatkuasaan. Kehadiran Ketua-Ketua Agensi dalam Majlis ini akan menguatkan lagi azam dan iltizam seluruh anggota agensi penguatkuasaan dalam mencapai hasrat kerajaan untuk memerangi rasuah serta memberi perkhidmatan yang mendahulukan rakyat.

23. Pada kebiasaannya manusia sukai disukai, begitu juga ketua-ketua, amat suka juga disayangi oleh anak-anak buah mereka. Tetapi sekiranya anak-anak buah di bawah jagaan kita, bertindak di luar batasan dan tidak mematuhi peraturan dan prosedur sedia ada, maka sebagai ketua hendaklah mengambil tindakan sekiranya terbukti anak buah bersalah.

24. Selaku Pengerusi Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008, saya perhatikan kita lazimnya sangat bertimbang rasa; kita lebih suka memberi peluang atau tidak suka mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati cuai atau sengaja melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam.

25. Ketua-ketua di peringkat kementerian, jabatan dan kerajaan negeri lebih cenderung memberi maklum balas bahawa tiada tindakan yang boleh diambil kerana ianya dibuat di luar bidang kuasa pegawai-pegawai.

Hadirin yang dihormati sekalian,

26. Pelancaran Kempen “Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah” di kalangan Agensi penguatkuasaan ini juga diharap berupaya mencetuskan motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam. Kita mahu setiap penjawat awam berkongsi amalan baik dengan “Menolak Rasuah”, serta membawa perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi Negara.

27. Adalah penting kita sama-sama melakukan ini demi menjaga nama baik perkhidmatan kita. Memang akan adanya di kalangan kita yang sebegitu ramai, sebagaimana juga di mana-mana negara sekalipun, akan ada penjawat awam yang mungkin tergoda dengan rasuah, tetapi bilangan mereka adalah kecil. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempastikan sebilangan kecil di kalangan kita ini yang membuat nama baik kita tercemar diberikan ganjaran yang setimpal. Dan juga mereka yang menggoda penjawat awam untuk tergoda, mereka harus diberikan balasan yang setimpal.

28. Sebagai mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas komitmen dan usaha yang dijalankan bagi mengadakan kempen ini.

29. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya melancarkan “Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah” pada petang ini.

Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah Wassallamualaikum warahmatullahi warabakatuh

Leave a Reply



− two = 4

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →