Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa 2010
Ucapan Aluan Y. Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan
Ketua Setiausaha Negara Merangkap Pengerusi IIM
Bismillahir rahmaanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
Y.B. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi
Y. Bhg. Datuk Dr. Haji Zulkefli A. Hassan, Ketua Setiausaha
Kementerian Pengajian Tinggi
Y. Bhg. Datuk Dr. Mohd Tap bin Salleh, Presiden IIM
Dif-Dif Kehormat,
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dan Institut Pengajian Tinggi,
Tuan-tuan dan puan-puan serta seluruh warga mahasiswa yang dihormati sekalian.
Marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin Nya kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis pada petang ini.
2. Saya merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Y.B. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, yang telah dapat meluangkan masa bagi menyampaikan ucaptama, dan seterusnya menutup Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa 2010 pada petang ini.
3. Kehadiran Y.B. Datuk Seri melambangkan keprihatinan yang tinggi serta komitmen terhadap usaha-usaha membudayakan integriti di kalangan mahasiswa khususnya, dan rakyat Malaysia, amnya. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran seluruh warga pemimpin mahasiswa ke Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa 2010.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Agenda integriti menjadi fokus dan keutamaan negara kerana sejarah telah membuktikan bahawa jatuh dan runtuhnya beberapa tamadun besar di dunia seperti Empayar Byzantine di Rome, Dinasti Moghul di India dan Kerajaan Besar Islam Bani Abassiyah pada tahun 1258 adalah kerana faktor integriti. Begitu juga tumbangnya empayar besar Melaka di tangan tentera Portugal pada tahun 1511 adalah kerana tidak berintegritinya para pembesar Melaka yang saling bercakaran dan berebut kuasa hingga membawa kepada penjajahan Melaka dan seterusnya Malaysia selama 499 tahun lamanya.
5. Begitulah sejarah membuktikan betapa pentingnya integriti dalam kehidupan kita. Apatah lagi kepada saudara-saudari semua yang merupakan pewaris kepada kepimpinan negara di masa depan. Imam Al Ghazali ada mengatakan bahawa “Jika hendak melihat pemimpin di masa depan, maka lihatlah pemuda pada hari ini”. Selaku bakal pemimpin negara di masa depan, saudara-saudari bukan sahaja perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kelayakan akademik yang mencukupi, Kita juga perlu sentiasa mengamalkan budi pekerti yang luhur dan tahap budi bahasa yang tinggi.
4. Tanpa budi pekerti yang baik dan tahap integriti yang tinggi, pencapaian akademik sebaik mana pun adalah kurang bermakna. Justeru, selaku pemimpin mahasiswa, saudara-saudari perlu mempunyai peranan khas selaku “Duta Integriti” serta menjadi model kepada seluruh warga mahasiswa khususnya dan juga kepada 11.8 juta warga belia, umumnya.
5. Menyedari akan perlu pentingnya nilai-nilai moral, etika profesional dan integriti di kalangan mahasiswa dipertingkatkan dan diperkasakan, Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi telah mencadangkan supaya setiap universiti mewujudkan satu platform untuk pelajar-pelajar melaksanakan program kesedaran terhadap isu-isu integriti. Perkara ini telah disampaikan di dalam ucapan beliau semasa menutup Debat Perdana Integriti IPTA pada hari Selasa, 16 Mac 2010 yang lalu di Universiti Malaysia Sabah.
6. Platform yang dinamakan sebagai “Rakan Integriti Mahasiswa”, atau RIM, ini bertujuan memperluaskan skop aktiviti kesedaran terhadap isu-isu integriti sehingga majoriti pelajar di kampus dapat menyertainya. Dalam hubungan ini, siri kempen secara meluas akan dilakukan melalui pelbagai mekanisme dan aktiviti bagi memperluaskan serta mempertingkatkan kesedaran di kalangan mahasiswa. Rakan Integriti Mahasiswa juga akan turut membantu Institut Integriti Malaysia dalam menjalankan program berkaitan integriti yang melibatkan mahasiswa seluruh negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Bidalan Melayu ada menyebut “Elok kain, eloklah coraknya, elok pemimpin, eloklah negerinya”. Ia mencerminkan tentang etika dan integriti seorang pemimpin. Seorang pemimpin hendaklah sentiasa mewarisi dan mengamalkan nilai serta norma kehidupan yang mulia dan boleh dicontohi. Seorang pemimpin hendaklah mempunyai “personal integrity”, maka barulah pemimpin itu sentiasa dihormati dan disanjung.
8. Oleh itu, IIM dalam melaksanakan program-program pengukuhan integriti pada masa hadapan akan memberikan tumpuan khusus kepada golongan belia. Ini merupakan usaha Kerajaan untuk meningkatkan tahap kesedaran golongan belia tentang peri pentingnya pengamalan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Kongres Integriti Mahasiswa yang berlangsung pada hari ini, adalah antara program-program pengukuhan yang telah dirancang dan dijalankan.
9. Bagi mengakhiri ucapan, sekali lagi ribuan terima kasih ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi atas sokongan penuh kepada usaha pembudayaan integriti di kalangan mahasiswa, hingga membawa kepada lahirnya Rakan Integriti Mahasiswa, atau ringkasnya RIM, yang akan dilancarkan sebentar lagi. Dengan adanya usaha-usaha sebegini maka hasrat kita untuk melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi menjelang tahun 2020 akan menjadi realiti.
10. Seperti mana kata ahli falsafah China yang terkenal, Kung-Fu-Tze, “A journey of a thousand miles begins with a single step”. Maka penubuhan Rakan Integriti Mahasiswa ini adalah merupakan perintis kepada usaha-usaha pembudayaan integriti di kalangan warga mahasiswa secara lebih menyeluruh dan komprehensif, Insya Allah.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.