Majlis Anugerah Fellow INTAN dan Penyampaian Diploma INTAN 2010
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Y. Bhg. Tan Sri Ismail bin Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Mahmud
bin Taib
Y. Bhg. Datuk Ab. Khalil bin Ab. Hamid
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
Y. Bhg. Dato’ Dr. Ismail bin Alias
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi)
Y. Bhg. Dato’ Dr. Muhamad bin Hamzah, Pengarah INTAN
Y. Bhg. Dan Y. Berhormat Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Datuk, Datin-Datin,
Dif-Dif kehormat
Para graduan dan ahli keluarga
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia Nya kita dapat hadir dalam majlis yang amat bermakna pada hari ini, iaitu Majlis Anugerah Fellow INTAN dan Penyampaian Diploma INTAN 2010.
2. Sebelum meneruskan ucapan, terlebih dahulu, bagi pihak Perkhidmatan Awam Malaysia, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakam ucapan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga Allahyarhamah Norhashimah binti Wahid, peserta Diploma Pengurusan Awam INTAN sesi 1/2010 yang kembali ke rahmatullah pada 31 Mei 2010 sewaktu sedang menjalani kursus. Untuk itu, marilah kita bersama-sama mensedekahkan bacaan surah Al-Fatihah dan berdoa ke hadrat Allah S.W.T., semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. InsyaAllah. Alfatihah.
Saudara-Saudari,
3. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Mahmud bin Taib, atas pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Fellow INTAN bagi tahun 2009. Anugerah ini adalah bagi menghargai komitmen, jasa dan pengorbanan beliau yang tidak berbelah bagi kepada perkhidmatan awam dan negara.
4. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada para graduan yang telah menamatkan dengan jayanya Diploma Pengurusan Awam dan Diploma Sains Pengurusan. Saya percaya majlis penganugerahan ini merupakan satu detik bersejarah bagi para graduan sekalian. Ini adalah berkat usaha, kesungguhan, komitmen dan ketabahan saudara-saudari dalam menjalani modul latihan dan sesi pembelajaran serta menimba pengalaman sepanjang berkursus.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Perkhidmatan Awam merupakan satu tanggungjawab yang penting dan utama dalam sesebuah negara. Dalam menggalas tanggungjawab ini, anggota Perkhidmatan Awam mestilah melaksanakannya dengan penuh amanah dan kesungguhan. Sehubungan itu, penghayatan nilai-nilai murni akan dapat membimbing penjawat awam membentuk akhlak dan peribadi yang mulia, yang akan menggerakkan perkhidmatan awam dengan berkesan.
6. Adalah penting kita penjawat awam memberi penekanan kepada pembentukan peribadi atau character building bagi membina dan memupuk kecemerlangan dalam perkhidmatan. Ini meliputi penguasaan ilmu pengetahuan, peningkatan kemahiran dan pengamalan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif.
7. Memetik kata-kata Confucius, “Apa yang selalu menarik perhatian saya ialah akhlak manusia. Mempunyai akal itu baik dan mempunyai kecerdasan serta kepintaran itu lebih baik lagi. Tetapi akhlaklah yang selalu menjadikan akal itu sebagai hambanya dan akhlaklah yang membuat seseorang itu baik atau jahat, lemah atau kuat”.
8. Seseorang yang mempunyai akhlak dan peribadi yang tinggi, akan sentiasa melakukan tindakan yang betul dan konsisten dalam pelaksanaan tugasnya. Tidak kira sama ada sedang dilihat atau dinilai, DAN LEBIH PENTING BILA TIADA SESIAPA YANG MELIHAT ATAU MENILAI, dalam apa jua keadaan, mereka yang berperibadi tinggi sentiasa bertindak dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
9. Bagi orang yang berhemah tinggi, matlamatnya bukan untuk mencari peluang kenaikan pangkat atau untuk mendapat Sijil Khidmat Cemerlang, tetapi matlamatnya ialah kepuasan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. That is the end. Walau bagaimanapun, saya percaya, sekiranya seseorang itu ikhlas dan jujur melaksanakan tugasnya, ganjaran yang setimpal pasti akan menyusul, Insya Allah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
10. Tingkah laku peribadi dan etika penjawat awam sebenarnya dikawal oleh pelbagai peraturan serta pekeliling perkhidmatan yang dirangka bagi memastikan tahap etika yang tertinggi. Dalam hal ini, penjawat awam perlu mematuhi tatakelakuan seperti yang digariskan di dalam pelbagai Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib). Sebarang pelanggaran terhadap tatakelakuan yang dinyatakan boleh mengakibatkan tindakan disiplin diambil. Namun begitu saya berpendapat, senjata yang paling berkesan dalam memastikan penjawat awam melakukan yang terbaik dan mengelak dari melakukan yang mungkar adalah kekuatan peribadi, moral dan nilai kendiri.
11. Oleh kerana pembentukan sahsiah dan pekerti, nilai dan sikap merupakan antara elemen yang mempengaruhi prestasi individu di dalam organisasi, amatlah perlu bagi kita penjawat awam mengukuhkan budaya kerja cemerlang dan sentiasa berfikiran positif.
12. Saudara-saudari yang masih muda ini, yang masih panjang usia perkhidmatannya, perlu memiliki mindset untuk membawa nilai yang terbaik kepada organisasi. Kesegeraan dalam tindakan, “value for money” dan integriti merupakan prinsip-prinsip utama tadbir urus perkhidmatan awam yang perlu sentiasa kita hayati dan praktikkan. Dalam hal ini, saya amat berharap saudara-saudari dapat memanfaatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang ditimba sewaktu berkursus untuk tampil sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam yang versatile, serba boleh dan berdaya tahan.
13. Integriti sering dikaitkan dengan anggota perkhidmatan awam kerana jawatan yang kita pegang sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan.
14. Dalam kontek “Rakyat Didahulukan” sebarang aduan, rungutan dan teguran pelanggan hendaklah diterima secara positif, dan merupakan maklum balas terbaik bagi kita meningkatkan lagi tahap penyampaian perkhidmatan.
Saudara-Saudari Sekalian,
15. Sebagai penjawat awam, kita adalah pelaksana dasar-dasar dan program-program yang diputuskan oleh Kerajaan. Keberkesanan Perkhidmatan Awam dalam melaksanakan tanggungjawab ini menyumbang terhadap pencapaian negara kita sekarang – – baik dari segi kemajuan ekonomi, keamanan, keselamatan negara, mencapai status Negara ke-10 paling kompetitif di dunia. Dan lain-lain lagi. Tetapi tanggungjawab ini tidak ada kesudahan. Sekarang kita berhasrat menjadi negara ke-5 paling kompetitif di dunia. Dan saya amat yakin, sekiranya kita semua bertekad untuk mencapainya dan mengambil segala tindakan yang perlu, Insya Allah ia akan tercapai seperti juga kita telah mencapai tempat ke-10.
16. Maka adalah penting kita peka terhadap dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan. Juga apabila kita lebih kanan, menjadi penasihat kepada pembuat-pembuat dasar. Tetapi peranan sebagai penasihat boleh dilaksanakan dari sekarang lagi. Iaitu dengan memberikan pandangan-pandangan dan idea-idea yang boleh menyumbang terhadap pencapaian Wawasan 2020 dan Misi Nasional.
17. Pada masa ini Kerajaan giat memperkatakan dan melaksana NKRA (National Key Result Areas), MKRA (Ministerial Key Result Areas), NKEA (National Key Economic Areas), Model Ekonomi Baru. Saya berharap kita semua bukan sahaja setakat membaca dan mengetahui akan inisiatif-inisiatif ini tetapi turut membuka minda, menguatkan azam dan paling penting menyumbang terhadap pelaksanaan dan pencapaian matlamat-matlamat ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
18. Pada majlis ini, kita merasa amat berbangga kerana dapat memberi penghormatan kepada seorang tokoh perkhidmatan awam yang tersohor dan dihormati, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Mahmud bin Taib, iaitu penerima Anugerah Fellow INTAN Tahun 2009. Yang Berbahagia Tan Sri telah menyumbangkan khidmat bakti selama 33 tahun, 5 bulan dan 28 hari kepada perkhidmatan awam, bangsa dan negara. Beliau juga telah memegang teraju perkhidmatan awam sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mulai 16 April 1990 sehingga 13 Disember 1995.
19. Kepimpinan dan perkhidmatan beliau sebenarnya telah memartabatkan perkhidmatan awam ke satu tahap yang amat membanggakan. Sekali lagi, saya bagi pihak seluruh anggota perkhidmatan awam merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Mahmud bin Taib kerana sudi menerima Anugerah Fellow INTAN ini. Semoga Allah SWT menganugerahkan kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Mahmud bin Taib dan keluarga dengan kesihatan, kesejahteraan dan kebijaksanaan yang berterusan.
20. Majlis penganugerahan pada hari ini juga pastinya merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh para graduan. Setelah bertungkus-lumus menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran sepanjang tempoh kursus, penganugerahan ini menandakan bahawa kesungguhan, kesabaran dan ketabahan saudara-saudari ternyata membuahkan hasil. Adalah diharapkan kejayaan menamatkan kursus ini menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
21. Akhir kata, saya berharap saudara-saudari akan berkhidmat kepada negara dengan penuh profesionalisme, adil dan prihatin, di samping menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan, dedikasi dan ketabahan demi mencapai kecemerlangan dan kegemilangan. Semoga kejayaan yang diterima pada hari ini akan menyuntik semangat saudara-saudari sekalian untuk bekerja dengan lebih tekun, beramanah dan bertanggungjawab demi kemajuan perkhidmatan, bangsa dan negara.
Sekian,
Wabillaahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.