Majlis Penutupan Persidangan perkhidmatan pendidikan

June 24, 2010 4:52 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Y. Bhg. Dato’ Haji Kusaini bin Haji Hasbullah, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain Haji Awang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran

Y.Bhg. Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

Hadirin yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia Nya, kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Penutupan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan pada tengah hari ini.

2. Tahniah kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, SPP, atas usaha menganjurkan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan ini, dengan tema “Transformasi Profesion Keguruan”. Persidangan kali ini telah berjaya menghimpunkan semua Ketua Jabatan yang menguruskan perkhidmatan pelajaran, dari seluruh negara. Antara tujuannya adalah bagi menjana pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif ke arah penambahbaikan serta transformasi pengurusan perkhidmatan pelajaran.

3. Saya percaya melalui perbincangan Kertas-Kertas Kerja dan forum yang telah diadakan dalam persidangan ini, semua yang hadir telah dapat menghayati serta mendalami tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap penjawat awam yang terlibat dalam pengurusan perkhidmatan pelajaran, baik di peringkat agensi pusat, Suruhanjaya, Kementerian serta agensi dan jabatan di bawahnya. Dengan adanya perbincangan secara terbuka ini, pastinya akan dapat membantu memastikan aspirasi negara ke arah mencapai pendidikan bertaraf dunia akan dapat direalisasikan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Sebagaimana sedia maklum, Y.A.B. Perdana Menteri telah menggariskan 4 tonggak utama untuk dilaksanakan oleh pentadbiran awam bagi menjayakan agenda negara, iaitu Gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”; Program Transformasi Kerajaan; Model Baru Ekonomi; dan Rancangan Malaysia Ke-10.

5. Setiap tonggak tersebut mempunyai matlamatnya yang tersendiri bagi memacu pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Keempat-empat tonggak ini juga amat berkait rapat dengan peranan institusi pendidikan, khasnya oleh pegawai perkhidmatan pendidikan yang menjadi pendukung utamanya dan pegawai lain yang terlibat dalam pengurusan perkhidmatan pelajaran.

6. Guru-guru berperanan penting untuk menyebarkan maklumat tepat mengenai aspirasi dan dasar-dasar negara kita. Ini kerana guru merupakan salah satu ejen utama yang berada dekat dengan masyarakat setempat, khususnya dengan kanak-kanak. Bagi memastikan signifikannya rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, guru-guru berkualiti yang dilahirkan melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan sewajarnya sentiasa bersedia untuk mencurahkan bakti, berkhidmat di kawasan pedalaman walaupun kawasan tersebut mungkin serba kekurangan dari segi kemudahan asas, peralatan mengajar dan sebagainya.

7. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, nilai-nilai murni hendaklah terus diterapkan ke dalam perkhidmatan awam. Penghayatan dan aplikasi Teras Perkhidmatan Awam, Budaya Kerja Cemerlang dan Etika Perkhidmatan Awam merupakan asas utama kepada profesionalisme seseorang penjawat awam. Semua ini hendaklah selari dengan kesopanan dan ketertiban dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Oleh kerana pembentukan sahsiah dan pekerti serta nilai dan sikap itu merupakan antara elemen yang mempengaruhi prestasi individu di dalam organisasi, amatlah perlu bagi kita mengukuhkan budaya kerja cemerlang dan sentiasa berfikiran positif. Sebagai penjawat awam juga, kita dituntut untuk berkhidmat dengan penuh integriti dan sentiasa menjaga imej dan maruah perkhidmatan awam.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Melalui Program Transformasi Kerajaan, 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA telah dikenal pasti untuk diberikan tumpuan. Salah satunya adalah berkaitan peningkatan pencapaian pelajar. Bagi memastikan ini tercapai, beberapa pendekatan telah dicadangkan. Antaranya ialah mewujudkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi yang telah pun diumumkan pada awal tahun ini dan 100 buah lagi menjelang 2012, serta mewujudkan instrumen saringan dan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Tahun 1, iaitu Program Literasi dan Numerasi (LINUS) dengan kepakaran hampir 17,000 anggota perkhidmatan pendidikan. Melalui usaha ini adalah diharapkan anak-anak kita akan mendapat manfaat yang lebih baik, dan akhirnya melahirkan generasi yang lebih berdaya saing.

9. Adalah tidak dinafikan bahawa keperluan infrastruktur juga penting bagi menghasilkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa pembangunan infrastruktur sehingga ke tahap MEGA dalam bidang pendidikan perlu difikirkan semula. Untuk memperkasakan bidang pendidikan, adalah lebih baik tumpuan pembangunan diberikan kepada software atau pengisian pendidikan itu sendiri.

10. Saya ingin memberikan contoh beberapa institusi pendidikan yang berjaya di mana pada hemah saya, kejayaan mereka diusahakan menerusi tumpuan pembangunan dalam software pendidikan itu sendiri. Saya telah melawat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 9 Jun 2010. Apa yang mengagumkan ialah fizikal prasarana UMK ini adalah terdiri dari deretan rumah-rumah kedai yang dijadikan bilik-bilik kuliah, dan pejabat pentadbiran yang akhirnya membentuk UMK itu sendiri. Walaupun tanpa infrastruktur yang indah, pengisian dan kualiti pengajian di peringkat tertinggi diberi keutamaan sepenuhnya.

11. Perkara yang sama juga berlaku kepada New Hampshire College di Amerika Syarikat di mana saya membuat MBA pada tahun 1982 lalu. Apabila saya ingin melawat semula kolej ini selepas berkursus di Harvard University pada tahun 2002, saya dapati bangunan kolej ini telah bertukar menjadi Public Library. Walaupun ia tidak gah dengan bangunan yang indah, pengisian pendidikan di Kolej ini diberi tumpuan, umpamanya dengan menjemput pensyarah-pensyarah dari Harvard University untuk mengajar sambilan di kolej tersebut. Saya berharap perkara-perkara ini wajar menjadi teladan kepada kita untuk memberi tumpuan yang lebih kepada pengisian pendidikan di setiap peringkat terutamanya di sekolah-sekolah.

12. Dalam menekankan aspek perubahan dalam bidang pendidikan, transformasi yang serupa perlu wujud dalam diri setiap pendidik yang diamanahkan untuk mendidik generasi bangsa demi kesinambungan pembangunan negara. Sehubungan itu, para pendidik atau guru perlu mempunyai sikap atau sifat yang positif dalam menyumbang tenaga kepada kejayaan falsafah pendidikan negara. Ini kerana hanya dengan penglibatan dan perubahan sikap oleh semua pihak, transformasi pendidikan yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan negara akan tercapai bagi manfaat setiap rakyat seluruh negara, khususnya dalam meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

13. Dalam hubungan ini, saya ingin berkongsi pengalaman SK Cherok Paloh, di Kuantan, Pahang. Saya telah mencabar SK Cherok Paloh pada bulan Februari 2009 agar menghasilkan lebih ramai pelajar yang akan mendapat keputusan 5A dalam UPSR. Ini disebabkan SK Cherok Paloh ini dilengkapi dengan kemudahan fizikal yang serba moden serta bilangan pelajar yang sedikit, tetapi hanya menghasilkan seorang sahaja pelajar 5A pada setiap tahun atau tiada langsung. Hasilnya, dengan komitmen guru besar, guru-guru, ibu-bapa dan pelajar yang sama, SK Cherok Paloh telah berjaya menghasilkan 4 orang pelajar 5A dan 5 orang 4A dalam tempoh 7 bulan sahaja. Hakikatnya, sasaran bilangan ini mereka jangkakan pada awalnya dapat dicapai pada tahun 2013. Saya berkeyakinan tinggi bahawa jika semua guru-guru mempunyai komitmen dan keikhlasan, tiada perkara yang mustahil untuk tidak boleh dicapai dalam memartabatkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia. It’s all about changing the mind set.

Hadirin yang dihormati sekalian,

14. Dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, sikap mengutamakan kepantasan bertindak dan membuat keputusan amat dititikberatkan. Dalam dunia globalisasi yang serba bersaing ini, agensi-agensi kerajaan perlu bekerjasama secara bersinergi dengan pihak swasta bagi mempertingkatkan daya saing negara. Bahkan, kerjasama di kalangan jabatan dan agensi kerajaan harus diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang membolehkan sempadan birokrasi dihapuskan dan perkongsian idea, ilmu dan maklumat dibudayakan. Jabatan dan agensi kerajaan tidak boleh lagi bekerja atau bertindak dalam keadaan silo, tetapi hendaklah mengoptimumkan kepakaran dan keupayaan masing-masing bagi melakukan perubahan yang berimpak tinggi dalam penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

15. Dalam hubungan ini, saya ingin menyarankan agar SPP, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mengintegrasikan pangkalan maklumat masing-masing bagi membolehkan ketiga-tiga pihak dapat berkongsi maklumat secara pintar. Saya percaya faedah yang dapat dinikmati oleh ketiga-tiga pihak amat besar, apabila sistem maklumat kesemua agensi yang menguruskan hal ehwal perkhidmatan pelajaran dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan lancar dan tanpa sekatan. Seterusnya akan dapat melaksanakan program masing-masing berlandaskan maklumat yang lebih luas, bermakna dan tepat.

16. Sebagai contoh, SPP boleh mengendalikan urusan pengambilan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan cekap memandangkan maklumat tentang guru-guru pelatih dapat dicapai dari sistem maklumat Kementerian Pelajaran. Seterusnya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuat analisa serta mengambil tindakan yang proaktif berasaskan maklumat yang boleh dicapai dari sistem maklumat di SPP.

17. Justeru, adalah diharapkan supaya integrasi sistem maklumat ketiga-tiga pihak akan dilaksanakan dengan segera. Dalam hal ini, khidmat nasihat kepakaran yang terdapat di MAMPU hendaklah digembleng bagi menerajui komitmen untuk mengintegrasikan sistem maklumat SPP dengan kementerian-kementerian yang berkenaan.

18. Memandangkan semakin ramai siswazah yang menunjukkan minat untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam, maka adalah wajar proses pengambilan guru dipermudahkan dan dilaksanakan terus oleh SPP. Calon guru tidak perlu lagi melalui proses lantikan Kementerian Pelajaran sebagai Guru Sandaran Terlatih. Tindakan ini boleh dilaksanakan dahulu dalam opsyen-opsyen tertentu khususnya kepada calon yang mengikuti kursus Diploma Pendidikan di IPTA. Namun demikian walaupun proses dipermudahkan, aspek kualiti pastinya tidak boleh ditolak ansur, malah dipertingkatkan lagi.
Hadirin yang dihormati sekalian,

19. Sebagaimana yang saya sebutkan pada peringkat awal ucapan ini, Kerajaan telah memperkenalkan gagasan ‘1Malaysia’ dalam menjayakan agenda negara. Dalam hubungan ini saya berharap, konsep ‘1Malaysia’ dapat dihayati dengan jayanya dalam bidang pendidikan negara. Ini termasuk memberi penekanan terhadap pelaksanaan konsep ini di sekolah-sekolah dalam pelbagai aktiviti pelajar atau dalam urusan pentadbiran dan pengurusan sekolah. Kita mempunyai hasrat yang satu iaitu ingin melihat kecemerlangan sistem pendidikan negara, dapat dijayakan oleh semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Untuk itu, pengukuran atau kecemerlangan seseorang guru perlu dinilai berdasarkan MERIT dan kesesuaian bidang pengajarannya. Perkara ini akan membantu sistem pendidikan negara melahirkan guru-guru terbaik tanpa mengira latar belakang mereka dan seterusnya berharap mereka akan melahirkan pelajar-pelajar yang benar-benar berkualiti dan kaya dengan sikap integriti. Saya percaya jika kita telus dan ikhlas dalam menjayakan konsep ‘1 Malaysia’ ini, sudah pasti sistem pendidikan negara akan menerima pengiktirafan yang sewajarnya di peringkat dunia.

20. Saya juga ingin menekankan agar dalam kita mengejar untuk melahirkan kuantiti pelajar cemerlang yang lebih ramai, kualiti kecemerlangan tersebut perlulah benar-benar menjadi bukti kepada pencapaiannya. Umpamanya, pada hari ini kita dapat melihat bilangan pelajar yang meraih keputusan dengan subjek A, dapat dilahirkan dalam jumlah yang ramai berbanding pada masa lalu. Dalam hubungan ini, wajar kita meneliti sama ada bilangan pelajar cemerlang yang ramai ini, merupakan bukti akan berkesanan sistem pendidikan negara. Justeru itu, dalam usaha mengekal dan meningkatkan kuantiti pencapaian ini, kita seharusnya tidak bertolak ansur dengan kualiti pengajaran dan peperiksaan yang dikendalikan. Ini penting kerana pelajar-pelajar ini merupakan ketua di masa hadapan.

Saudara/Saudari yang dihormati,

21. Kejayaan tidak akan datang dengan sendiri, tanpa usaha yang gigih serta komitmen yang padu untuk mencapainya. Semoga usaha yang dilaksanakan dapat memastikan perkhidmatan awam, khususnya perkhidmatan pelajaran terus bergerak pantas dan berfungsi dengan berkesan bagi membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik, sekali gus memastikan sumbangan perkhidmatan awam terus relevan dan diperlukan dalam memacu pembangunan negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

22. Sebagaimana sedia maklum, Laporan IMD telah mengumumkan bahawa Malaysia adalah negara ke-10 paling kompetitif di dunia. Prestasi ini telah melonjak dengan amat ketara berbanding tempat ke-18 dalam tahun 2009. Pengiktirafan ini meletakkan negara kita sebaris dengan negara yang paling berdaya saing di dunia seperti Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia dan Taiwan.

23. Kejayaan ini adalah hasil usaha yang berterusan dalam menambah baik serta meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Walaupun pencapaian ini adalah amat menggembirakan, namun kita tidak seharusnya merasa selesa tetapi hendaklah terus berusaha mempertingkat prestasi supaya Malaysia tergolong dalam 5 tangga teratas pula. Melalui usaha yang berfokus dan kesungguhan yang tinggi oleh semua pihak, saya percaya kita boleh merealisasikannya.

24. Akhir kata, saya berharap semua yang hadir dalam persidangan pada kali ini dapat meneruskan tekad untuk sama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh integriti kerana jawatan yang kita sandang tidak dapat dipisahkan daripada tanggungjawab yang datang dengannya.

25. Dengan itu, serta dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, secara rasminya saya menutup Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010.

Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah Wassalamualikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply



six + 9 =

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →