Inovasi ICT Menjana Pertumbuhan Ekonomi
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Y. Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Malaysia
Y. Bhg. Dato’ Mohamad Zabidi Zainal
Ketua Pengarah MAMPU
YBhg. Dato’ Dr. Nor Aliah Mohd Zahri , Timbalan Ketua Pengarah ICT MAMPU, Merangkap Ketua Pegawai Maklumat Sektor Awam
Ketua Setiausaha Kementerian
Setiausaha Kerajaan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan,
Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Sektor Awam
Wakil Sektor Swasta
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Para hadirin yang saya dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan kurnia Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Perasmian Persidangan CIO Sektor Awam Tahun 2010.
2. Saya merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada MAMPU, selaku penganjur, atas jemputan untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Persidangan ini, sekali gus melancarkan inisiatif MyGovXchange sebentar nanti.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. CIO pada hari ini mempunyai tanggungjawab serta cabaran yang amat besar. Senario semasa menuntut CIO supaya menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang berinovatif melalui ICT, bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi. Sehubungan itu, tema persidangan pada kali ini, iaitu “Inovasi ICT Menjana Pertumbuhan Ekonomi” adalah sangat sesuai serta bertepatan sekali. Ini bagi memberi peluang kepada para CIO sektor awam berkongsi pengetahuan dan pengalaman, bertukar-tukar idea serta menjalin kerjasama strategik, di samping meningkatkan pengetahuan dalam teknologi, cabaran serta peluang ICT terkini.
PERANAN CIO SEKTOR AWAM
4. Dalam menghadapi senario yang semakin mencabar, keupayaan kepimpinan agensi dalam menentukan hala tuju serta menggerakkan sumber secara cekap dan efektif, merupakan satu aspek yang kritikal. Saya melihat peranan utama CIO sektor awam ialah untuk menyuntik perspektif baru bagi menyingkap pendekatan dan inisiatif baru yang menggalakkan kreativiti dan inovasi, mempromosikan budaya ilmu serta memupuk semangat warga agensi untuk bersama-sama menyahut cabaran ini.
5. Selaku CIO di agensi, pelbagai jenis maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber bagi membantu dalam perancangan dan membuat keputusan. Pengawalan dan pengurusan maklumat di agensi perlu dilaksanakan tepat pada waktunya bagi membolehkan agensi atau penerima maklumat dapat bertindak dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian, peranan CIO agensi dalam pembangunan sistem penyampaian maklumat agensi adalah penting bagi memastikan maklumat digunakan secara berkesan. CIO juga berperanan memanfaatkan potensi yang terdapat pada ICT bagi mempertingkatkan ketelusan dan integriti dalam sektor awam.
Hadirin yang dihormati sekalian,
INOVASI ICT DALAM SEKTOR AWAM
6. Bagi mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa perkhidmatan berbentuk online, mobile serta yang memenuhi pendekatan “No Wrong Door”. Ini termasuk inisiatif eKL, projek myBayar, myForms dan mySMS 15888. Inisiatif-inisiatif ini, yang disertakan dengan program Change Management serta promosi besar-besaran, telah berjaya menarik minat ramai pelanggan untuk menggunakannya, iaitu rakyat dan perniagaan, untuk berurusan dengan Kerajaan secara online dan melalui SMS.
7. Perkhidmatan online dan SMS kini merupakan perkhidmatan yang paling pesat berkembang. Melaluinya, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan Kerajaan menerusi pelbagai saluran dan boleh dicapai dengan selesa, pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Sehingga kini, 1,448 perkhidmatan online telah disediakan dan 3,141 jenis borang boleh dimuat turun. Perangkaan bulan April, Mei dan Jun 2010 menunjukkan, antara perkhidmatan online yang tertinggi penggunaannya adalah e-Filing dengan jumlah sebanyak 1.2 juta transaksi; Semakan Keputusan Kemasukan ke IPTA – 12.2 juta transaksi; e-Declare Kastam DiRaja – 776,275 transaksi; dan Status Pendaftaran Pekerjaan – 537,048 transaksi.
8. Dari aspek perkhidmatan mobile pula, sebanyak 1,715 jenis perkhidmatan SMS telah disediakan yang melibatkan 171 agensi dengan 2.3 juta pengguna berdaftar. Kesannya, Perkhidmatan Awam telah berjaya membawa perkhidmatan dan produk lebih dekat dan mudah serta selesa kepada pelanggan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. Satu lagi inisiatif terkini Kerajaan, iaitu MyGovXchange, yang akan dilancarkan sebentar lagi, menyediakan perkhidmatan bayaran bersepadu (myBayar) dan perkhidmatan gerbang serahan borang secara online (myForms). Sehingga kini, sebanyak 17 agensi telah menyediakan 30 perkhidmatan bagi myBayar dan 45 perkhidmatan bagi myForms. Saya ingin menggalakkan supaya setiap Kementerian dan Agensi mengambil tindakan untuk e-enabled perkhidmatan yang disediakan oleh agensi dan seterusnya mengenal pasti perkhidmatan agensi yang boleh ditempatkan di dalam MyGovXchange. Ini juga adalah selaras dengan Program Gempur Online 2010 yang dilancarkan melalui e-mel pada 23 Julai 2010, yang bertujuan menggesa semua agensi Kerajaan memperbanyakkan kandungan di dalam laman web agensi masing-masing di samping memperbanyakkan perkhidmatan secara online bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan. MAMPU akan membantu dan memudah cara agensi-agensi ke arah peningkatan usaha ini.
10. Dengan kejayaan inisiatif eKL, seterusnya Kerajaan berhasrat untuk melancarkan Inisiatif Government Regional Electronic Advancements Transformation, atau GREAT. GREAT adalah berlandaskan kejayaan pelaksanaan inisiatif eKL di mana perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan akan diperluaskan ke kawasan strategik ekonomi, iaitu Northern Corridor Economic Region (NCER), East Coast Economic Region (ECER), Iskandar Development Region (IDR), Sarawak Corridor of Renewal Energy (SCORE) dan Sabah Development Corridor (SDC). GREAT akan memastikan perkhidmatan Kerajaan boleh dicapai menerusi pelbagai saluran penyampaian perkhidmatan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
PELUANG INOVASI DAN PENAMBAHBAIKAN
11. Harapan dan tuntutan rakyat terhadap Perkhidmatan Awam yang cekap, berkesan, responsif dan komited semakin meningkat. Justeru, pendekatan keseluruhan Kerajaan atau whole-of-government approach dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-10 memerlukan kerjasama yang lebih erat di kalangan agensi-agensi Kerajaan. Pendekatan ini memerlukan agensi bekerja merentasi sempadan portfolio serta merentasi peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan. Ia juga menuntut penambahbaikan dan inovasi, baik dalam proses kerja mahupun prosedur dan peraturan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang menguja pelanggan. Dengan pendekatan ini, seni bina ICT agensi-agensi Kerajaan perlu diperkemaskan bagi menggabungkan operasi ICT supaya prinsip value for money dan resource optimisation dapat dimanfaatkan melalui projek-projek ICT.
12. Dalam hal ini, Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Perunding ICT di MAMPU yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Sejak penubuhannya pada tahun 2009, Pasukan Perunding ICT ini telah menyediakan khidmat kepakaran kepada 33 projek dari pelbagai agensi. Penubuhan Pasukan Perunding ICT adalah untuk membolehkan Sektor Awam mengurangkan kebergantungan kepada khidmat kepakaran sektor swasta dan menjimatkan perbelanjaan ICT Kerajaan. Di samping itu, ia mewujudkan suasana kompetitif di antara sumber dalaman dan luaran dalam meningkatkan mutu perkhidmatan. CIO agensi adalah digalakkan untuk mendapatkan khidmat kepakaran Pasukan Perunding ICT dalam perancangan dan pembangunan projek ICT di agensi masing-masing.
Hadirin yang dihormati sekalian,
PERANAN CIO SEKTOR AWAM DALAM INOVASI ICT
13. Kita sedia maklum bahawa dunia ICT sentiasa berubah dengan pantas dan tiada had sempadan. Kita juga maklum bahawa ICT berupaya menyediakan pelbagai platform dan peluang yang luas untuk inovasi yang berterusan. Satu contoh terbaik berkaitan inovasi ICT adalah sistem queue yang digabungkan dengan sistem SMS. Ia merupakan idea yang cukup mudah tetapi mempunyai impak yang besar serta mempamerkan keprihatinan terhadap kesesuaian masa pelanggan. Apa yang lebih menarik adalah kos pelaksanaannya yang berpatutan.
14. Gabungan sistem queue dan sistem SMS merupakan idea utama disebalik inisiatif “SMS Take N Go” bagi pengambilan ubat yang dilaksanakan oleh Hospital Putrajaya. Perkhidmatan ini disediakan kepada pesakit yang ingin mengambil bekalan ubatan ulangan. Pesakit hanya perlu SMS, telefon atau e-mel tentang butiran pesakit. Ubat akan disediakan terdahulu dan pesakit tidak perlu menunggu bila datang ke hospital untuk mengambil ubat.
15. Inisiatif tersebut seterusnya telah dikembangkan ke 14 Klinik Kesihatan di Wilayah Persekutuan dan 62 Klinik Kesihatan di Kedah. Bagi Wilayah Persekutuan, sejak 12 Julai 2010, seramai 192 pelanggan telah menggunakannya manakala bagi negeri Kedah, seramai 202 pelanggan telah menggunakan perkhidmatan ini sejak 27 April 2010.
16. Oleh itu, sesuatu sistem penyampaian Kerajaan yang generik yang telah berjaya dilaksanakan hendaklah diperluaskan ke lokasi lain. CIO mempunyai peranan yang penting untuk mengenal pasti, menentukan serta memperhalusi inisiatif-inisiatif ICT yang berinovatif untuk dilaksanakan di agensi masing-masing.
17. Dalam memastikan budaya inovasi ICT diterapkan dalam amalan kerja agensi, adalah sangat penting CIO mengimbangi strategi yang dirancang adalah selaras dengan perkembangan ICT supaya inisiatif yang dilaksanakan menepati kehendak dan keperluan semasa serta dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
INOVASI ICT DAN PERTUMBUHAN EKONOMI
18. Ekonomi dunia masa kini sangat bergantung kepada pengetahuan, teknologi dan inovasi. Selain Amerika dan Jepun yang pernah mempelopori ekonomi dunia dengan kebijaksanaan inovasi teknologi mereka, kini negara-negara lain juga telah mencapai tahap yang setanding seperti Korea, Singapura, Taiwan, China dan India.
19. Antara resipi kejayaan mereka adalah dengan memberi keutamaan kepada aspek kreativiti dan inovasi dalam mencipta sesuatu yang baru yang boleh memacu pasaran produk dan perkhidmatan masa depan, bagi menjana pendapatan negara dengan sumber yang terhad. Dengan inovasi yang berterusan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat, negara-negara tersebut telah berjaya mencapai kemajuan dan mendahului banyak negara lain.
20. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Dalam hal ini, Kerajaan telah pun melancarkan Gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MEB) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe10) sebagai asas yang kukuh untuk memacu pembangunan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020. Semasa membentangkan RMKe-10, Y.A.B. Perdana Menteri telah menyatakan bahawa penerapan kaedah ICT yang berkesan adalah antara langkah yang dikenal pasti untuk membantu dalam pertumbuhan ekonomi. ICT juga disenaraikan sebagai salah satu dari 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan menggerakkan ekonomi negara serta berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi.
21. Maka, tidak dinafikan lagi bahawa ICT adalah merupakan strategic enabler yang sangat berkesan. Inovasi yang melibatkan ICT merupakan pemangkin utama bagi mencapai hasrat negara untuk diiktiraf sebagai negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
22. Melalui inovasi ICT, Sektor Awam Malaysia akan dapat memperbaiki kedudukan sebagai negara yang kompetitif dengan suasana ekonomi yang berdaya maju serta peningkatan tahap kualiti kehidupan rakyat.
23. Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan bahawa rakyat akan terus mendapat manfaat dari pembangunan sektor ICT yang kian pesat. Walaubagaimanapun usaha semua pihak harus digemblengkan untuk menjayakan ini, termasuk orang ramai yang menjadi sasaran kita.
24. Akhir kata, saya berharap semua pihak, khususnya CIO yang hadir pada persidangan hari ini dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan komited dan berintegriti ke arah mencapai matlamat transformasi negara seperti yang dihasratkan.
25. Memetik kata-kata Benjamin Franklin,
If you would not be forgotten
As soon as you are dead and rotten
Either write things worth reading
Or do things worth the writing.
26. Dengan harapan itu dan dengan ucapan Bismillahir rahmannir rahim, saya merasmikan Persidangan CIO Sektor Awam 2010.
Sekian,
Wabillahitaufik walhidayah
Wasalaamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.