Majlis Perasmian Pusat Jalur Lebar Komuniti Kampung Ubai
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Y.B. Dato’ Muhammad Safian bin Ismail
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
dan Y.Bhg. Datin
Y. Bhg. Dato’ Jailani Johari
Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM
Y. Bhg. Dato’ Hjh Mariam bt Ismail
Pegawai Daerah Kuantan
Yang Berusaha Puan Hjh Zaiton Hj Idrus, Pengarah Hal Ehwal Korporat
DIGI Telecommunications
Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
Saudara Kadri Ahmad, Pengerusi JKKK Kg. Ubai
Ketua-Ketua Masyarakat, Tuan-tuan dan Puan-puan, saudara-mara serta hadirin yang dihormati sekalian
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia Nya, dapat kita berkumpul pada pagi ini dalam Majlis Perasmian Pusat Jalur Lebar Komuniti Kampung Ubai, Mukim Penor, Daerah Kuantan, Pahang Darul Makmur.
2. Ucapan tahniah dan sekalung terima kasih kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dengan kerjasama DIGI Telecommunications serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, semua agensi kerajaan dan syarikat swasta yang bersama-sama terlibat menjayakan hasrat supaya faedah penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi turut dirasai oleh kita di kampung ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Sebagaimana kita sedia maklum, Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, atau ICT, merupakan wadah penting dalam usaha Kerajaan untuk mencapai matlamat sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kerajaan, melalui Inisiatif Jalur Lebar Negara, berusaha untuk meningkatkan penembusan jalur lebar kebangsaan pada akhir tahun ini sebagai suatu keutamaan. Melalui inisiatif yang dijalankan oleh SKMM, kini tahap penembusan ialah pada 37.5 peratus dan perlu berusaha untuk mencapai 12.5 peratus penembusan lagi dalam masa kira-kira 5 bulan akan datang sehingga akhir tahun 2010.
4. Dalam hubungan ini, program mempromosikan Jalur Lebar sedang giat dijalankan sebagai salah satu inisiatif pihak SKMM dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi, bagi meningkatkan penggunaannya. Program-program sedemikian pastinya akan mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat seluruh negara, termasuk penduduk Kampung Ubai. Dengan siapnya Pusat Jalur Lebar Kampung Ubai ini, penduduk sekitar Mukim Penor akan dapat menggunakan kemudahan ICT yang lengkap dan sempurna, supaya lebih “celik komputer” atau “celik Internet”, selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Seperti mana hasrat Y.A.B. Perdana Menteri yang mahukan Malaysia menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi dan lebih kompetitif, kita harus berganjak kepada satu bentuk ekonomi yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi untuk kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.
6. Kerajaan amat komited dalam membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju. Usaha murni Kerajaan untuk meningkatkan dan memperluaskan penggunaan ICT di kalangan penduduk dan pelbagai sektor ekonomi, serta mempromosikan penggunaan ICT bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pada 17 Mei 2010 yang lalu, Y.A.B. Perdana Menteri telah menerima Anugerah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunication Union) pada World Expo 2010 di Shanghai, China sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia 2010. Penganugerahan tersebut adalah merupakan satu penghormatan kepada negara Malaysia.
Saudara-Saudari sekalian,
7. Setiap kali bajet negara dibentangkan, peruntukan teknologi maklumat dan komunikasi pasti tidak pernah dipinggirkan, malah ia menjadi keutamaan untuk dilaksanakan. Ini membuktikan ICT merupakan cabang terbaik untuk diberi perhatian dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat. Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, jalur lebar dan ICT tidak dapat lari daripada menjadi elemen penting dalam inisiatif transformasi negara ke arah negara maju.
8. Namun begitu, dalam kita menuju status negara maju, masalah jurang digital perlu ditangani segera. Kini terdapat perbezaan yang ketara dari segi ilmu pengetahuan dan infrastruktur ICT di kalangan masyarakat yang di pedalaman berbanding dengan masyarakat bandar. Usaha merapatkan jurang digital ini perlu dilaksanakan dengan komited dan bersungguh-sungguh bagi memberi peluang yang saksama kepada semua lapisan penduduk di negara ini untuk bersama-sama menyumbang kepada membangunkan negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. Kerjasama erat antara pihak kerajaan negeri dengan agensi-agensi Kerajaan seperti KPKK, SKMM serta syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar adalah penting bagi memudahkan lagi usaha untuk meningkatkan penggunaan ICT di Negeri Pahang, khususnya oleh penduduk di kawasan luar bandar. Melalui inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan, pihak kerajaan negeri dapat membantu mengenal pasti golongan berkelayakan di negeri Pahang bagi menerima peruntukan komputer Netbook 1-Malaysia supaya tahap penembusan jalur lebar di negeri Pahang dapat di tingkatkan kepada 33 peratus pada akhir 2010 nanti.
10. Namun begitu, apalah gunanya infrastruktur dan kemudahan yang disediakan kalau tiada penggunaan. Sekadar menyediakan kemudahan infrastruktur supaya masyarakat menggunakan ICT adalah tidak mencukupi. Kita perlu melaksanakan peranan kita dengan mengambil tahu dan sedar akan kemudahan yang sedia ada bagi memperbaiki kehidupan kita, dan seterusnya mencapai visi negara.
11. Sebagai contoh, pada bulan lepas, abang saya, Haji Osman, yang tinggal di Felda Bukit Goh, Kuantan, hendak menghantar anaknya ke Sungai Petani untuk belajar di Maktab Perguruan. Hendak menghantar anaknya dengan kereta, tetapi tidak tahu jalan. Tuan-tuan tahu apa abang saya buat nak tahu jalan dari Kg. Ubai ke Sungai Petani? Beliau “google” Sungai Petani, gunakan “Google Earth” pula. Jadi sudah dapat maklumat jalan terbaik ke Sungai Petani. Hebat juga abang saya. Siapa kata orang kampung tak pandai guna komputer?
12. Sebelum ke sini semalam, saya juga sempat “google” mengenai Kg. Ubai. Ada Facebook Orang Kg Ubai pula, dan di situ ada ditulis “Kampung Ubai – A small village located in Malaysia”. Secara tidak langsung ini dapat memperkenalkan kampung yang kecil di Malaysia ke seluruh dunia.
13. Sebagai bekalan untuk anak-anak, pada saya pelaburan yang terbaik ialah pendidikan dan memberikan pelajaran. Jadi begitulah antara kegunaan ICT dan Jalur Lebar. Maka, gunakanlah kemudahan yang ada, gunakanlah komputer yang telah disediakan dengan sebaik-baiknya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
14. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Pusat Jalur Lebar Kg. Ubai ini. Harapan saya agar semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, pekerjaan dan peringkat umur dapat menggunakan Pusat Jalur Lebar yang telah disediakan ini dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan kualiti kehidupan seharian.
15. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Jalur Lebar Kg Ubai, Mukim Penor, Pahang.
Sekian,
Wabillahittaufiq walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.