Majlis Khidmat Bakti Bil. 1 Tahun 2010
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Ybhg. Dato’ Sri Abu Bakar bin Hj. Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Datin Sri,
Ybhg. Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Puan Sri,
Ybhg. Dato’ Sri Ahmad Said bin Hamdan dan Datin Sri,
YBhg. Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri,
YBhg. Dato’ Sri-Dato’ Sri dan Datin Sri-Datin Sri,
YBhg. Dato’-Dato’ dan Datin-Datin,
Dif-dif yang diraikan,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia Nya dapat kita bersama-sama hadir dalam majlis yang amat bermakna pada malam ini, iaitu Majlis Khidmat Bakti.
2. Majlis ini diadakan bagi menghargai budi serta mengenang jasa perkhidmatan pegawai-pegawai kanan yang telah atau akan bersara serta tamat lantikan kontrak. Pada masa yang sama kita juga meraikan pegawai-pegawai kanan yang baru dilantik bagi mengisi jawatan-jawatan utama dalam kerajaan.
3. Bagi pihak Kerajaan dan Perkhidmatan Awam, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan yang meninggalkan perkhidmatan awam. Khidmat bakti serta jasa kepada perkhidmatan awam dan negara pastinya akan sentiasa dikenang serta menjadi sebahagian sejarah penting negara.
4. Bagi yang telah dilantik ke jawatan-jawatan tinggi Kerajaan, sekalung tahniah diucapkan atas pelantikan ini. Ia merupakan suatu pengiktirafan dan kepercayaan terhadap saudara-saudari bagi memimpin agensi masing-masing dengan penuh komitmen, bertanggungjawab, dedikasi, dan berintegriti. Pada masa yang sama saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada suami dan isteri pegawai-pegawai yang telah atau akan bersara; dan yang telah dinaikkan pangkat yang lebih tinggi. Saya percaya tanpa pengorbanan dan bantuan mereka kita tidak akan dapat mencapai apa yang dicapaikan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai usaha untuk memesatkan pembangunan negara serta memenuhi kepentingan rakyat. Dengan pembentangan pelan Rancangan Malaysia ke-10 pada 10 Jun 2010 yang lalu, maka lengkaplah 4 agenda penting negara yang telah digubal khusus bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Tiga lagi agenda penting negara ialah, Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan; dan Model Baru Ekonomi. Usaha-usaha ini menuntut kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih mantap dan berkualiti bagi memenuhi kehendak stakeholder dan pelanggan.
6. Perkhidmatan awam kini perlu menggiatkan lagi usaha dan menjadi pemudah cara kepada aktiviti sektor swasta, NGO dan rakyat keseluruhannya. Untuk berbuat demikian, penjawat awam tiada pilihan lain kecuali meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di samping mengubah sikap agar bersifat lebih terbuka, berinisiatif untuk melakukan inovasi serta berani melakukan perubahan. Oleh itu, perkhidmatan awam perlu terus menerokai, mengharungi dan melaksanakan perubahan secara drastik selaras dengan tuntutan semasa dan ekspektasi rakyat dan stakeholders yang semakin meningkat.
7. Dalam hubungan ini, rakan-rakan yang telah bersara dari perkhidmatan awam boleh memberi sumbangan dan sokongan dan dorongan. Saudara-saudari boleh menyalurkan pandangan dan pengamatan sebagai pemerhati di luar sistem perkhidmatan awam. Berilah pandangan serta teguran yang positif dan membina demi memastikan perkhidmatan awam lebih berkualiti dan rakyat berpuas hati. Walau bagaimanapun jangan asyik mengemukakan pandangan kepada saya sahaja, tetapi salurkanlah juga pandangan tersebut kepada Ketua Jabatan yang berkaitan.
8. Bagi pegawai-pegawai tertinggi yang baru dilantik, saya berharap kita akan berusaha dengan gigih dan bersedia untuk berubah, to challenge the status quo. Janganlah kita sentiasa selesa berada dalam “zon selamat” yang belum tentu dapat membawa apa-apa peningkatan kualiti atau produktiviti dalam Jabatan.
BERMINDA KREATIF DAN INOVATIF
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. Prestasi penyampaian perkhidmatan anggota kerajaan perlu sentiasa diberi nafas baru dengan menghasilkan pegawai awam yang inovatif dan kreatif. Pegawai awam yang berminda kreatif dan inovatif menunjukkan mereka itu tidak pernah berhenti berfikir untuk melaksanakan sesuatu yang baru dan mencipta kelainan dalam menyampaikan perkhidmatan.
10. Seorang pegawai yang kreatif dan inovatif perlu suka mencuba perkara baru dan ada sifat ingin tahu atau curiosity. Sikap dan sifat inilah yang kita inginkan dalam perkhidmatan awam.
11. Sebagai contoh, Syarikat yang diasaskan oleh William Wrigley masih kukuh selepas 60 tahun dalam pasaran kerana kejayaan mereka mencipta pelbagai jenis dan perasa chewing gum seperti Doublemint gum dan Spearmint gum. Kreativiti kakitangan syarikat ini telah membantu mereka sentiasa “up to date” dengan keperluan pelanggan. Sebagai perbandingannya syarikat Motorola dan Polaroid, yang pada suatu ketika dulu gah dengan penghasilan telefon bimbit dan kamera, buat masa ini tidak mampu bertahan kerana gagal mencipta sesuatu yang baru dalam era digital.
12. Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada perkhidmatan awam negara kita. Kita perlu sentiasa mencipta pembaharuan dalam perkhidmatan yang disampaikan agar seiring dengan keperluan pelanggan. Sehubungan dengan itu, bimbinglah pegawai-pegawai di bawah seliaan kita untuk lebih berinovasi dan kreatif dalam melaksanakan tugasan. Menjadi mentor kepada mereka supaya minda, emosi dan tingkahlaku mereka selari dengan hasrat kerajaan membentuk budaya kerja berprestasi tinggi.
KETAJAMAN FIKIRAN DAN KEUTUHAN SPIRITUAL
Hadirin yang dihormati sekalian,
13. Pemimpin berjaya sering dikaitkan dengan ketajaman fikiran dan bijak dalam membuat keputusan. Mereka ini biasanya sentiasa alert atau peka dengan keadaan semasa. Dalam pelaksanaan tugas, tanda atau sign kepada sesuatu masalah akan kelihatan di peringkat awal lagi. Sebagai pegawai tinggi kerajaan, kita perlu menyedari dan mengesani tanda-tanda awal tersebut dan melakukan sesuatu untuk menghindari akibat yang lebih buruk lagi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
15. Sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan atas khidmat bakti dan jasa dalam memaju perkhidmatan awam. Sumbangan dan usaha yang telah diberikan pastinya akan terus dikenang. Semoga saudara-saudari sekalian terus dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang tiada sempadan oleh Allah SWT.
16. Kepada rakan-rakan yang baru menerima amanah sebagai pegawai tinggi kerajaan, saya mengucapkan selamat maju jaya dan akan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, komitmen dan berintegriti serta dikurniakan kekuatan untuk meneruskan kegemilangan penyampaian perkhidmatan awam. Janganlah selepas mendapat kenaikan pangkat kita lupa untuk meningkatkan prestasi, kita complacent.
17. Mark Twain penulis novel terkenal, The Adventures of Tom Sawyer, telah menulis ungkapan berikut: “Twenty years from now you will be more disappointed by the things you didn’t do than by the ones you did do. So throw off the bowlines. Sail away from the safe harbor. Catch the trade winds in your sails. Explore. Discover.”
Our appointment is not like of the Pope, until death. We dont have to wait until we die at 58. We can be sidelined even if we are not yet 58.
18. Akhir kata, marilah kita sama-sama meraikan malam ini dan semoga menjadi ingatan sebagai sebuah kenangan manis yang bersejarah, dalam perkhidmatan kita semua.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.