Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat JUSA dan Jawatan Gred Khas Sektor Awam Bilangan 2/2010
TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA
MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT KENAIKAN PANGKAT JAWATAN UTAMA SEKTOR AWAM DAN JAWATAN GRED KHAS SEKTOR AWAM BILANGAN 2/2010
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar bin Hj. Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Y. Bhg. Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Y. Bhg. Tan Sri, Dato’ Seri, Dato’-Dato’ Ahli Lembaga Kenaikan Pangkat
Y. Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan tetamu yang diraikan
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan keizinan Nya kita dapat bersama-sama dalam majlis pada petang ini, bagi meraikan saudara-saudari yang telah dinaikkan pangkat ke Jawatan Utama Sektor Awam dan Jawatan Khas Sektor Awam.
2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua yang telah berjaya dinaikkan pangkat ke jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan, dan akan menerima Surat Kenaikan Pangkat pada petang ini. Pastinya kenaikan pangkat ini adalah berdasarkan merit serta prestasi cemerlang saudara-saudari dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
3. Begitu pun, kenaikan pangkat ini datang bersamanya tanggungjawab dan amanah yang lebih besar. Cabaran-cabaran yang bakal dihadapi juga berbeza dan mungkin lebih rumit daripada sebelumnya. Harapan saya, agar saudara-saudari melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komitmen, ikhlas dan berintegriti.
Hadirin yang dihormati sekalian,
MENGHADAPI PERUBAHAN
4. Saya sering mengingatkan diri saya dan penjawat-penjawat awam yang saya temui dalam pelbagai forum, berkaitan dengan komitmen kita bersama untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan supaya membantu memperkukuh dan meningkatkan daya saing negara.
5. Penjawat awam dituntut untuk menterjemahkan segala dasar yang dirangka oleh kerajaan, kerana daya saing sesebuah negara bergantung pada bagaimana kreatif, inovatif dan imaginatif rakyatnya dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik dengan kos yang berpatutan, yang akan menyumbang terhadap berdaya saing negara kita.
6. Persekitaran masa kini yang dinamik menuntut penjawat awam memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan menitikberatkan kepantasan bekerja, ketelitian dan akauntabiliti bagi menjayakan aspirasi stakeholders serta memenuhi keperluan pelanggan. Penjawat awam perlu membuat perubahan secara berterusan agar terus relevan dengan tuntutan semasa. Kita perlu senantiasa melakukan pembaharuan, fleksibel dalam pemikiran dan tindakan iaitu menjadi lebih baik, lebih tangkas, lebih strategik, lebih berinovatif dan kreatif, lebih nilai tambah dan lebih mencipta kelainan, agar terus diberikan kepercayaan sebagai pencadang dasar, penasihat dan pelaksana dasar-dasar kerajaan dalam pelbagai aspek. Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama – therefore the need to constantly challenge ourselves, challenge the status quo – supaya kita terus relevan dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran.
7. Justeru nasihat kepada diri saya sendiri dan juga kepada saudara-saudari sekalian yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan-jawatan tinggi kerajaan, janganlah kita mudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Janganlah selepas mendapat kenaikan pangkat kita lupa untuk meningkatkan prestasi, kita menjadi complacent dengan pencapaian yang ada. Lebih mudah kita complacent, lebih cepat kita menjadi tidak relevan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
NILAI TAMBAH
8. Sebagai individu yang menjadi pentadbir kepada Perkhidmatan Awam, kita mestilah sentiasa berusaha menjadi contoh yang terbaik. Suatu masa dahulu kita di dokong oleh slogan Kepimpinan Melalui Teladan. Dalam hubungan ini, saya percaya dan penuh yakin bahawa saudara-saudari semua merupakan pemimpin yang terbaik. Sebagai pemimpin yang berkualiti, kita juga dituntut untuk memimpin diri kita sendiri supaya sentiasa meningkatkan pencapaian, kebolehan dan kemahiran kita.
9. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan imej pentadbiran dan perkhidmatan perlu berada dalam lingkungan yang terbaik, selaku Ketua atau pemimpin dalam Jabatan. Kita perlu menyedari bahawa Perkhidmatan Awam sedang memasuki dekad terakhir Wawasan 2020. Selain meneruskan kesinambungan pembangunan fizikal, kita perlu sentiasa mengutamakan nilai tambah dari segi perkhidmatan dan outcome, serta menambahbaikkan sistem penyampaian dan pentadbiran. Namun yang paling penting ialah menambah nilai diri kita. Cara yang paling mudah ialah dengan memperkayakan diri kita dengan ilmu dan idea yang memberi kita pengetahuan, mengenali serta memahami situasi baru dan keadaan yang berubah dari masa ke semasa, selain bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Saudara-saudari sekalian,
MEMBIMBING ORGANISASI
10. Selaku pemimpin di dalam organisasi masing-masing, nilai tambah pada diri sendiri juga bermakna kita perlu pantas dan cepat. Jika secara bersendirian kita tidak boleh melakukannya, maka kita perlu mendapatkan kerjasama dari pelbagai peringkat secara kolektif. Ketua yang cemerlang akan sentiasa bermuafakat, bermusyawarah, bekerjasama dan berbincang bagi memberi peluang semua orang melahirkan idea dan pandangan. Ketua yang berwawasan juga akan sentiasa mengutamakan pendekatan perundingan. Dalam memastikan keberkesanan sesuatu program atau projek dapat dilaksanakan dengan berjaya dan diterima dengan baik, kita hendaklah sanggup mencari jalan dan menerima idea yang terbaik dari semua pihak, sama ada di kalangan warga jabatan kita mahupun golongan sasar yang menerima impak daripada pembangunan yang diusahakan.
11. Perundingan juga bermakna kita memberi nilai tambah kepada warga Jabatan kita dan ada kalanya memberi kuasa kepada mereka untuk membuat keputusan. Pemimpin yang baik akan berupaya meletakkan kepercayaan kepada orang lain untuk juga memimpin, memberi kebebasan kepada mereka dan seterusnya membiarkan mereka untuk menjadi peneraju yang berjaya. Sebagai Ketua Jabatan atau pegawai kanan di agensi, saudara-saudari hendaklah bertindak sebagai “mentor” kepada pegawai-pegawai bawahan untuk membuat keputusan yang baik. Nilai-nilai ini jika dihayati, akan dapat membantu kita selaku Ketua untuk melaksanakan sesuatu keputusan dengan lebih cepat bersandarkan kaedah autonomi, perundingan dan kreativiti.
12. Namun demikian, saudara-saudari tidak harus mempunyai toleransi dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip nilai terutamanya integriti. Nilai integriti penting kerana ia akan mencorak sejauh mana kejujuran kita selaku penjawat awam dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Nilai dan etika kerja ini sebenarnya merupakan penyumbang utama ke arah pembentukan individu yang berkualiti dan produktif. Ia jua membentuk kawalan dalaman kepada kita dari terdorong melakukan amalan yang bertentangan dengan undang-undang, peraturan dan sebagainya. Selaku pemimpin, nilai ini akan menambah kekuatan kepada diri dan akhirnya membentuk nilai keperibadian yang unggul kepada pemimpin tersebut.
13. Amirul Mukminin, Khalifah Ali Ibni Abu Talib dalam surat beliau kepada Malek Al-Ashtar, Governor Mesir menulis “A Good Leader must use his head (wisdom), heart (feelings and emotions), hands (strength and power) and tongue (good communication) to help others because the Almighty Allah holds himself responsible to help those who sincerely try their best to help Him”.
Saudara-saudari sekalian,
Bila berbicara soal Ketua,
Umpama nakhoda mengemudi bahtera,
Jawatan diterima sentiasa diduga,
Tanggungjawab digalas perlu saksama,
Janji ketua janji dikota,
Jangan takut bila dikata,
Keikhlasan bekerja itu yang utama.
Jangan sehingga langkah terkunci rapat,
Jawatan disandang telah pun tamat,
Tanpa ruang tanpa pejabat,
Rupanya banyak belum dibuat,
Menyesal kita tiada semangat,
Hendak bertindak sudah terlambat,
Umpama dunia telah pun kiamat.
Dari hati, ku lahirkan bicara,
Tutur disampai untuk semua,
Terutama untuk diriku sama,
Kepada saudara, rakan sekerja,
Tunaikan amanah selagi terdaya,
Integriti tersemat di dalam jiwa,
Pantas bertindak menjadi utama,
ikhlas bekerja di mana sahaja,
Doa dipanjat kepada Yang Esa,
Perkhidmatan Awam terbilang jua.
14. Akhir kata, sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang dalam sehari dua ini, saya mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua penjawat awam yang beragama Islam. Semoga Allah SWT memberi kesihatan untuk kita melaksanakan ibadah bulan Ramadhan dengan penuh sabar, tawaduk dan bersyukur.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.